Tiga lokaliti di Sabah, Sarawak ditamatkan PKPD

0
125
pkpd lagi
KAWASAN PKPD akan dipasang pagar kawad berduri dan penduduk perlu kebenaran polis untuk keluar masuk kawasan itu. - Gambar hiasan

TIGA lokaliti di Sabah serta Sarawak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini ditamatkan mengikut jadual pada 8 dan 9 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti Sabah terletak di Kota Belud iaitu melibatkan Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu manakala satu lokaliti di Sarawak terletak di Kampung Chupak, Serian.

Menurut Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 558 ujian saringan sehingga kini di Kampung Lebak Moyoh dengan sebanyak 13 kes secara kumulatif telah direkodkan.

Di Kampung Siasai Tamu, kata Ismail Sabri, sebanyak 602 ujian saringan telah dilaksanakan KKM yang mencatatkan sembilan kes positif Covid-19.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di kedua-dua lokaliti adalah terkawal dengan semua kes positif di Kampung Lebak Moyoh telah menerima rawatan manakala kontak rapat telah diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.

“Baki kes aktif di lokaliti Kampung Siasai Tamu juga terkawal dan kes terakhir dilaporkan adalah pada 22 Mac lalu iaitu sebanyak lima kes.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di kedua-dua lokaliti pada 8 April seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Rentas negeri tanpa kebenaran tertinggi ingkar SOP

Sementara itu, di Kampung Chupak, Serian pula, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 968 ujian saringan telah dilaksanakan KKM dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif sebanyak 111 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Chupak, Siburan, Serian, Sarawak pada 9 April seperti dijadualkan,” jelas beliau.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan dan pelaksanaan PKPD di tiga lagi lokaliti di Sarawak.

Katanya, PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian yang dijadualkan tamat pada 9 April akan dilanjutkan selama dua minggu bermula 10 April sehingga 23 April.

“Dalam tempoh PKPD, KKM telah melaksanakan 485 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 95 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta terdapat kes baru yang dikesan dalam kalangan komuniti di lokaliti itu,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, dua lagi lokaliti Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman serta Kampung Serpan Laut, Samarahan akan dikenakan PKPD selama dua minggu sehingga 21 April.

Di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Ismail Sabri berkata, KKM telah melaksanakan 482 ujian saringan dengan 289 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan 279 tahanan, lapan petugas penjara dan dua ahli keluarga kakitangan penjaran.

Beliau berkata, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti berkenaan dalam tempoh tujuh hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Bagi Kampung Serpan Laut, Samarahan pula, sebanyak 62 ujian saringan telah dilaksanakan dengan lima kes positif direkodkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kedua-dua lokaliti tersebut.

“SOP PKPD di penjara pula adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram