Oleh: ABDULLAH JUSOH

KELMARIN, laman Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak menyiarkan curahan hati (curhat) panjang lebar bekas Perdana Menteri itu selepas menerima notis bankrap daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika tidak melunaskan cukai RM1.7 bilion.

Laras bahasanya sayu menggamit simpati sesama insan. Najib menggambarkan dirinya sebagai mangsa kezaliman politik dengan menggariskan beberapa hujah sokongan.

Pastinya hujah-hujah itu akan dibentangkan di mahkamah satu masa nanti. Maka, lebih baik kita memberi ruang kepada hakim yang amat arif dalam bidangnya membuat pertimbangan dan keputusan apabila tiba masanya.

Bagaimanapun dalam curhat syahdu itu, Najib turut menyulamnya dengan tuduhan liar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Benar, Najib tidak menyebut nama Muhyiddin tetapi siapakah yang dimaksudkan sebagai bos kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz?

Najib menulis, pada November tahun lepas, Menteri Kewangan mengadakan perbincangan dengannya dan pada masa itu, Tengku Zafrul sudah diberi taklimat tentang kes cukainya.

Kata Najib, Menteri Kewangan telah ke LHDN dan meminta agensi itu berbincang dengannya untuk jalan penyelesaian.

“Bagaimanapun, minggu lepas beliau diberitahu oleh bosnya, untuk tidak lagi terlibat dengan isu cukai ini dan serahkan kepada bosnya,” tulis Najib.

Sedangkan sudah berulang kali Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam aspek kehakiman dan perundangan. Kerajaan Muhyiddin tidak wajar disamakan dengan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun cuma berkuasa 22 bulan, PH telah menggugurkan banyak kes yang melibatan pimpinan kanannya. Tengoklah pengakhiran kes Lim Guan Eng.

Sebagai bekas penjawat awam yang bersara pada era pemerintahan Najib, penulis amat bersimpati dengan nasibnya. Namun penulis juga melihat dengan positif perkembangan kes cukai Najib.

Ia adalah isyarat kerajaan PN yang tidak sesekali berkompromi dalam aspek kedaulatan undang-undang, sekali gus tidak membezakan layanan antara ‘kluster kayangan’ dan ‘kluster B40’.

Semua agensi juga terus diperkasa dan tidak diganggu gugat dalam era PN. Lihatlah sendiri SPRM yang semakin agresif ‘menebas’ para pengkhianat negara, para koruptor!

Apabila bercakap tentang LHDN, kita kerap mendengar betapa lembaga ini sangat digeruni dan terkenal dengan ketegasannya.

Sahabat penulis, seorang usahawan di Sabah pernah berdepan masalah dengan LHDN. Dia dikenakan cukai yang sangat tinggi.

Selepas beberapa siri rundingan, sahabat penulis tadi akhirnya mula membayar cukai yang dituntut. Dia cukup tertekan dan kecewa namun akur kerana sedar tentang kewajipannya kepada negara. Lagipun, sebagai rakyat biasa, apalah daya beliau untuk melawan peruntukan undang-undang.

Malah Najib sewaktu bergelar Perdana Menteri pernah berucap: “Dalam definasi patriotisme itu, kewajiban membayar cukai adalah juga berdasarkan pada semangat dan prinsip patriotisme.

“Sebab apa? Sebab bila kita bayar cukai, kita menolong rakyat dan kita menolong negara. Jadi saya nak sebut perkara ini, kewajiban membayar cukai  is an act of patriotisme.

“Ini mesti kita beritahu, mengelak daripada membayar cukai ialah sesuatu pengkhianatan kepada negara,” katanya dalam satu majlis.

Tetapi apabila bergelar ‘pembangkang’ dan berdepan pelbagai dakwaan di mahkamah (ada yang telah dijatuhi hukuman), lain benar nada Najib dalam media sosial.

Benar, beliau cukup popular di Facebook, penulis sendiri sentiasa membaca entri yang dimuat naik, ada kalanya ia melucukan tetapi pedas. Banyak juga pandangan beliau yang penulis setuju.

Tagline BossKu pernah menjadi fenomena nasional, graf popularitinya melonjak. Tetapi sedarlah, semua populariti itu sekelumit pun tidak akan membantu Najib di mahkamah dalam pelbagai kes yang dihadapinya. Kes SRC sudah membuktikannya.

Penulis berpendapat, adalah lebih baik Najib menumpukan segala tenaga dan sumbernya melalui saluran yang betul. Penulis juga mendoakan beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk membersihkan nama.

Yakinlah…Allah bersama dengan orang yang benar!

  • Penulis adalah pemerhati politik dan bekas pesara kerajaan. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.