Isu rakaman audio yang didakwa perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘semakin panas’ apabila Tan Sri Annuar Musa mendakwa, rakaman itu adalah tulen selepas mendengar sebanyak 10 kali malam tadi.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, ‘’ saya rasa, saya boleh cam suara itu dan yakin 100% ia tulen.’’
Bercakap pada sidang akhbar selepas pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) seperti dilapor Astro Awani, Annuar berkata, sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua tokoh politik itu, pengecaman suara dalam audio berkenaan bukan perkara rumit.
“Saya cuba mendengar malam tadi beberapa kali dan sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua individu, pengecaman suara bukanlah menjadi sesuatu perkara rumit.
“Suara orang lain berlakon dengan suara sebenar saya boleh cam, terus-terang saya katanya setakat pengecaman setelah dengar lebih 10 kali, saya yakin 100 peratus itu adalah suara tulen, bukan orang buat-buat,” katanya.
Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar semalam secara tegas menafikan rakaman audio itu adalah suara mereka dan telah meminta pegawai masing-masing membuat laporan polis.
Ahmad Zahid menganggap rakaman itu sebagai politik jijik dan keji bagi menghancurkan UMNO manakala Anwar pula mendakwa klip audio itu adalah usaha daripada kepimpinan negara setelah gagal ‘mengugut’ dan ‘merasuah pemimpin pembangkang’.
Mengulas lanjut, Annuar mendakwa, sememangnya wujud hubungan kerjasama politik antara UMNO dan PKR.
“Saya sangat berkeyakinan memang ada perhubungan dan perhitungan…Gunalah apa sahaja, boleh guna konspirasi,” katanya
Annuar berkata, hubungan itu boleh dilihat termasuklah surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid, namun dinafikan.
“Kemudian kenyataan media mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen. Copy paste” (surat) juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir. Sekarang keluar pula rakaman audio.
“Saya bukan mempersoal kebebasan bercakap tetapi “content” percakapan itu jelas menunjukkan ada perancangan, kebersamaan dan perbincangan yang bercanggah dengan dasar ‘No Anwar, No DAP’ yang diputuskan parti,” katanya.
Beliau berkata, kandungan percakapan antara kedua-dua individu berkenaan juga amat mengecewakannya.
Ia kerana tegas beliau, baru sahaja penyataan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO yang mendorong perwakilan membuat satu ketetapan dan memberi sokongan tertentu berdasarkan kepada fakta yang dimaklumkan.
‘’Tiba-tiba belum pun 24 jam persidangan berlangsung jelas perkara lain dilakukan, jadi saya sebagai perwakilan merasakan dikhianati,’’ katanya.
Mengenai penafian oleh kedua-dua pemimpin itu, Annuar berkata, ”saya fikir orang politik kena jujurlah dan hendaklah berani. Kalau kita melakukan sesuatu berilah penjelasan apa lagi kita cuba menafikan dan menuduh pulak orang lain.”

