Bintang Baru Hip-Hop YHB Sleepsalot Melancarkan Single Debut
“Don’t Miss Demo”

Def Jam Singapura telah menemui permata baru dari ekosistem hip-hop tempatan yang bernama YHB Sleepsalot. Penyanyi rap berusia 19 tahun itu adalah artis termuda dibawah naungan syarikat pengurusan berkenaan setelah mendapat perhatian bintang hip-hop veteran seperti SonaOne dan ALYPH.

Rapper serta penulis lagu ini dikenali dengan kemampuannya menghasilkan muzik memukau dengan bunyi yang luar biasa, semuanya dizahirkan dalam single debut dengan Universal Music Singapura iaitu Don’t Miss Demo.

Lagu ini terhasil apabila produser dan produser bersama, RIIDEM dan Flightsch, berasa kagum dengan bakat yang ada pada dirinya.

Kedua-dua produser itu adalah tokoh hebat dalam arena hip-hop Singapura dengan beberapa lagu terbaik terhasil dari visi mereka. Semasa sesi pertama YHB Sleepsalot, dia berada di belakang mikrofon untuk apa yang seharusnya menjadi gaya bebas, tetapi kedua produser itu kagum dengan penyampaiannya yang berani.

Justeru, dia diminta untuk mengubahnya menjadi single. Itulah bagaimana Don’t Miss Demo dilahirkan dan mengapa ungkapan, “All of my shots don’t miss” (Semua peluang tidak akan saya lepaskan), mempunyai makna yang signifikan.

Rentaknya rancak dan berkembang dari awal hingga akhir, menggabungkan impian dengan lantunan getaran bunyi bass. YHB Sleepsalot melengkapkan rentak dengan kekuatan suaranya yang dinamik serta kekuatan liriknya.

yhb sleepsalot
YHB Sleepsalot mula menulis lagu seawal usia 13 tahun

Don’t Miss Demo ditulis sebagai catatan untuk dirinya sendiri, peringatan bahawa cita-cita dapat menjadi kenyataan jika memiliki semangat dan kesungguhan.

Ketika ditanya apa makna lagu itu bagi dirinya, YHB Sleepsalot menjawab dengan penuh keyakinan, “Saya ingin membuktikan bahawa saya serba boleh. Bagaimana saya boleh menukar aliran dan bereksperimen dengan melodi.

“Saya selesa dengan apa sahaja rentak yang bersesuaian. Walaupun dengan rentak Trap, tidak menjadi masalah buat diri saya.

“Saya ingin mencari suara saya sendiri dalam hip-hop, cipta sesuatu yang benar-benar baru. Saya mahu terus bereksperimen dan membawa karya hip-hop lebih jauh lagi,” jelasnya.

Don’t Miss Demo boleh didapati di semua platform striming. Manakala video muzik rasminya pula sudah boleh ditonton di saluran Youtube

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Youtube.