PELAKON veteran, Abu Bakar Omar,72, meninggal dunia pada pukul 9.04 pagi di Kedah Medical Centre hari ini akibat masalah jantung.
Berita sedih itu dikongsikan oleh anak Allahyarham, Zainuddin Abu Bakar menerusi laman sosial Facebook.
“Di kemuliaan pagi Jumaat, 4 Ramadan 1442H bersamaan 16 Aptil 2021 jam 9.04 pagi.
“Dengan sedih, keluarga memaklumkan bahawa ayahanda kami, Tuan Haji Abu Bakar Omar telah dijemput kembali ke Rahmatullah.
“Jenazah akan diuruskan di No.7 Jalan Bukit Nyamuk, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang. Solat jenazah dijangka selepas solat Jumaat,”katanya.
Jenazah juga akan disolatkan sekali lagi di Masjid Al Ghufran sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Akar, Peluru, Jalan Pegawai Kedah selepas solat Asar.
“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya dan ditempatkan bersana para Solihin.
“Bagi pihak keluarga, kami memohon maaf atas segala salah silap almarhum ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini,” luahnya.
Abu Bakar dilahirkan pada 25 April 1948 di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah dan memulakan karier lakonan pada 1981.
Sepanjang pembabitannya sebagai pelaku seni, arwah telah membintangi banyak drama serta filem tempatan.
Antara filem yang pernah dilakonkan ialah, Fenomena, Cinta Kolestrol, Hingga Hujung Nyawa, Duyung dan banyak lagi.
Abu Bakar pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Sri Angkasa 1993 menerusi lakonan dalam Senja Belum Berakhir dan pada 1990 arwah turut memenangi anugerah yang sama bagi kategori Drama Radio menerusi Bukan Kerana Kasih
Selain itu, arwah turut pernah dicalonkan sebanyak tiga kali di Festival Filem Malaysia menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik 1983 (filem Bila Hati Retak), Rentak Desa (FFM1991) dan Hingga Hujung Nyawa (FFM2005).
Arwah meninggalkan seorang balu, Faridah Abdul Manaf dan empat orang anak.

