Seorang pelayar legenda Inggeris, Kapten Neil Currie telah menemui fenomena aneh dan mencatatkannya semasa mengetuai ekspedisi pelayaran dari Liverpool, England menuju ke San Francisco, Amerika Syarikat.
Ketika mana Kapten Neil Currie berada di tengah-tengah Lautan Pasifik, beliau telah melalui satu kawasan perairan berwarna hijau yang persis seperti sebuah tasik. Apabila airnya dikaut dan diminum, ianya tawar dan segar, tidak masin seperti air laut.
Kisah mengenai tasik air tawar tersebut terhenti setakat di situ sahaja. Tiada lagi catatan-catatan atau makalah lain yang boleh mendukung dakwaan Neil Currie itu.
Lebih 100 tahun kemudian, pada tahun 1973, sekumpulan pelajar jurusan oseanografi dari Universiti Miami telah menemui gugusan air tawar di tengah-tengah lautan Atlantik yang masin. Kedudukan air tawar itu 80 kilometer dari kawasan pantai Miami-Florida dan kelihatan seperti sebuah takungan air jernih yang dikelilingi oleh lautan yang membiru.

Perkara ini sekali gus menunjukkan apa yang dinyatakan oleh Neil Currie adalah sesuatu yang benar dan sahih, sekalipun lokasi penemuan adalah berbeza.
Pada penghujung abad ke-20, seorang penyelam profesional dari Perancis, Jacques Yves Costeau telah menemui beberapa sumber mata air tawar di dasar Lautan Carribean, berhampiran dengan Teluk Mexico.
Gugusan mata air itu telah membentuk satu aliran anak sungai di dalam sebuah gua di dasar laut. Apa yang anehnya ialah air sungai tersebut seakan-akan mengalir secara terasing, dan langsung tidak bercampur atau bersebati dengan air laut di sekelilingnya, seolah-olah terdapat dinding atau membran yang membatasi di antara kedua-duanya.

Masakan air tawar dan air masin itu tidak bercampur walhal keduanya wujud secara berdampingan? Apakah pemisahan itu berlaku disebabkan oleh elemen pembentukannya yang berbeza? Perkara inilah yang telah menjadi tanda tanya dan berlegar di benak fikiran manusia.
Namun, di sebalik pelbagai persoalan yang timbul itu, Al-Quran sebenarnya telah pun menyediakan jawapan spesifik mengenainya. Kitab suci yang diwahyukan pada abad ke-7 Masihi itu telah menerangkan secara jelas tentang fenomena laut yang terpisah ini.
Anomali pemisahan air laut itu berlaku disebabkan adanya sempadan di antara air tawar dan air masin. Firman Allah dalam surah Al-Furqan, ayat 53 yang bermaksud; “Dan Dialah yang mengalirkan dua laut berdampingan, yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia menjadikan antara keduanya pemisah dan batas yang menghalangi.” – (Surah Al-Furqan: 53)
Di dalam ayat di atas, Allah telah menyatakan bahawa wujudnya satu persempadanan atau batasan yang telah memisahkan antara air tawar dan air masin. Bagaimanapun, ia bukanlah satu pemisah yang fizikal, tetapi berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu, kadar keasinan dan tahap ketumpatan yang berbeza.

Kehadiran air tawar di dalam laut merupakan satu fenomena fizikal yang disebabkan oleh air hujan. Sebahagian daripada air hujan yang turun ke bumi akan jatuh ke atas batu berongga yang boleh menyerap air. Batu ini diistilahkan sebagai akuifer. Kewujudan akuifer ini mungkin melengkung di dalam tanah dan muncul semula beratus-ratus kilometer di dasar lautan.
Di bahagian dasar laut ini, terdapat banyak longgokan lumpur yang bersih. Air tawar yang bergerak melalui lumpur ini dituras dan terpanas sedikit jika dibandingkan dengan air laut yang lebih sejuk di bahagian dasar.
Faktor ketumpatan air tawar yang lebih ringan turut menyebabkan alirannya menjadi lebih laju. Justeru, arusnya akan membentuk sungai di dasar laut, seterusnya bergerak naik ke permukaan dan memenuhi kawasan sehingga beberapa kilometer luasnya.
Dalam satu ayat yang lain, Allah turut melanjutkan perihal mengenai fenomena ini berkaitan dengan pertemuan dua air laut yang tidak bercampur.
Firman Allah: “Dia mengalirkan dua lautan (kemudian) keduanya bertemu. Di antara keduanya (ada) pemisah (yang) tidak keduanya melampaui.” – (Surah Ar-Rahman:19 & 20)
Pertemuan dua air laut ini boleh dilihat di selat Gibraltar yang mana berlaku pertembungan di antara Lautan Mediteranean dan Lautan Atlantik.
Arus air laut Mediteranean bergerak beberapa ratus kilometer ke Lautan Atlantik pada kedalaman 1,000 meter dengan tetap mempertahankan sifatnya yang hangat, berkadar garam lebih tinggi serta lebih pekat.

Pada tahap kedalaman ini, air laut Mediteranean masih berada dalam keadaan stabil meskipun berlaku fenomena ombak besar, arus dan pasang surut air yang kuat.
Selama beribu-ribu tahun lautan ini bertembung, tetapi persempadanannya masih tetap boleh dilihat dengan mata kasar, seolah-olah ada batas yang menghalangi percampuran kedua-dua lautan ini.
__________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

