KISAH yang akan saya ceritakan ini berkenaan menurun. Cerita ini diceritakan oleh Pak Basar, bapa saudara kepada isteri abang saya. Kisah menurun nombor ekor ini berlaku pada tahun 1969, seminggu selepas kejadian rusuhan perkauman 13 Mei.
Ketika kejadian pada hari Selasa 13 Mei itu, ramai orang Cina dan Melayu yang terbunuh akibat rusuhan kaum. Masih segar di ingatan Pak Basar kes pembunuhan di panggung Odeon dan Federal di Kuala Lumpur.
Dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah kawasan berhampiran daerah Kepong pula seramai 10 orang mangsa telah terbunuh. Mereka dikebumikan dalam satu kubur.
Bagi penggemar judi terutama nombor ekor, kubur orang mati kena bunuh memang menjadi kegemaran mereka untuk menurun mendapatkan nombor ekor. Ini termasuklah seorang kawan Pak Basar, yang bernama Malik.
Sebelum ini, Malik tidak pernah menurun untuk mendapatkan nombor tertentu walaupun dia diketahui ramai memang kaki ekor. Apabila dipelawa oleh kawan-kawan lain untuk turut serta dalam misi tersebut, dia pun bersetuju.
Untuk menurun di kubur mangsa pembunuhan, terlebih dahulu Malik dan kawan-kawannya terpaksa mencari senarai nama-nama 10 orang yang kena bunuh itu. Kalau dah namanya kaki ekor, mereka sanggup bersusah payah mencarinya.
Setelah berjaya mendapatkan nama-nama berkenaan, lapan orang kawan Pak Basar itu mula berpakat ke kubur tersebut. Rancangan pun mula diatur.
Menurut Pak Basar, antara syarat untuk menurun nombor ekor di kubur orang mati dibunuh adalah pada tengah malam Selasa. Selain itu, kesemua yang turut dalam proses menurun itu hendaklah diam, tidak boleh bersuara langsung ketika proses menurun bermula. Biarkan ketua atau orang yang memimpin upacara menurun itu saja yang bersuara.

Mereka yang ikut dalam proses menurun itu tidak boleh lari jika melihat sesuatu, atau mengalami kejadian aneh. Mereka hendaklah duduk di situ dengan membentuk bulatan sekeliling kubur.
Walau apa pun terjadi, jangan sesekali memejamkan mata. Tunduk memandang tanah tidak mengapa. Mereka harus duduk diam saja di situ hingga proses menurun dan mendapatkan nombor ekor selesai.
Syarat yang paling penting adalah kubur orang mati kena bunuh tak kira dikebumikan seorang atau beramai-ramai, mestilah belum pernah ada orang yang menurun di kubur yang sama sebelumnya.
Jika sudah ada mana-mana individu atau kumpulan yang menurun di kubur itu, maka ia tidak akan berhasil.
Disebabkan syarat yang akhir itu yang menjadi keutamaan, kumpulan kawan Pak Basar mesti menyediakan bahan-bahan yang perlu untuk menurun dengan segera. Kalau terlambat, mungkin ada individu atau kumpulan lain yang lebih awal melakukannya.
Setelah mendapatkan nama 10 orang yang mati dibunuh, mereka terus menyediakan bahan-bahan yang diperlukan seperti kemenyan, colok setanggi, lilin serta beberapa helai kain kuning.
Menurut cerita Pak Basar, pada malam Selasa, 20 Mei 1969, Malik dan tujuh orang rakannya bersedia untuk menurun. Dalam perjalanan menuju kubur itu, mereka berasa seronok.
Masing-masing mula bercerita tentang laba yang bakal diperoleh jika proses menurun berjaya nanti. Mereka yakin akan menjadi kaya kerana sebelum ini, sudah ada rakan-rakan mereka yang menjadi kaya selepas menurun di kubur orang mati kena bunuh.

Mereka bukan tak tahu pasal cerita gangguan semasa menurun, mereka dengar itu semua. Tetapi mereka pasti dan yakin gangguan yang bakal diterima nanti akan dapat diatasi.
Setelah sampai di kawasan perkuburan, masing-masing berasa seram sejuk. Mana tidaknya, ini pengalaman pertama bagi Malik dan rakan-rakan lain, kecuali ketua mereka Hashim.
Hashim sudah beberapa kali memimpin kumpulan menurun nombor ekor. Setiap kali menurun, pasti akan berhasil. Maka tak hairanlah kalau antara mereka berlapan itu, Hashimlah yang paling ‘berjaya’. Hasil ‘kejayaan’ Hashim ini pun dapat mereka saksikan sendiri.
Siapa tak teruja menjadi kaya seperti Hashim. Dia mempunyai dua buah kereta, Ford Cortina dan Volkswagen Beetle, tiga buah motosikal, Lambretta, Triumph dan BSA, dua buah rumah sendiri dan 14 buah rumah sewa.
Atas faktor inilah, mereka yakin dengan kemampuan Hashim. Jadi, walaupun seram berbaur takut, rakan-rakan Malik menggagahinya juga.
Mereka duduk bersila membentuk bulatan mengelilingi kubur 10 mangsa tragedi 13 Mei itu dan Hashim mula membaca mantera.
Setelah satu demi satu nama 10 korban itu disebut dan menyeru supaya roh mereka muncul, tidak semena-mena, tiupan angin mula terasa. Masing-masing berpandangan sesama sendiri kecuali Hashim. Dia terus khusyuk menjampi serapah.
Daun-daun dan ranting-ranting yang bertaburan di tanah mula ditiup angin. Colok-colok setanggi serta lilin-lilin yang mereka nyalakan sudah lama padam. Antara nampak dengan tidak, mereka tetap tabahkan hati di situ. Kemudian, daun-daun serta ranting-ranting dari pokok mula berterbangan.
Colok setanggi dan lilin melayang entah ke mana. Angin kini bertukar menjadi kencang. Bayangkan, beberapa hujung dahan rambutan yang tinggi yang tumbuh di persekitaran kubur tersebut boleh menceceh ke tanah, kata Pak Basar.

Dalam keadaan seperti ribut itulah muncul bayangan hitam besar dan tinggi dari arah belakang Hashim. Disebabkan lembaga itu berada di belakang Hashim, dia dan orang di kanan dan kirinya saja yang tidak melihat lembaga tersebut.
Lima rakan lain dapat melihatnya dengan jelas. Disebabkan itu pengalaman pertama kepada tujuh rakan Hashim, separuh daripada mereka terkencing di dalam seluar.
Bunyinya lucu, tapi itulah hakikatnya. Terkencing kerana ketakutan, namun mereka tetap cuba bertahan kerana mengenangkan laba yang bakal diperoleh.
Tiba-tiba salah seorang anggota kumpulan itu, Saim, bingkas bangun dan lari lintang pukang. Melihatkan Saim lari dengan seluar yang basah dek air kencing, yang lain pun ikut sama bertempiaran lari dalam gelap malam berserta angin ribut, termasuk Malik. Masing-masing tewas dengan ujian tersebut.
Sebaik Malik dan beberapa orang rakannya hilang entah ke mana, satu bunyi dengusan kuat bergema di kawasan kubur tersebut. Angin yang tadinya bertiup kencang sekelip mata terhenti bersama ghaibnya kelibat lembaga hitam besar itu.
Daripada lapan orang yang ikut menurun, kini tinggal tiga orang saja yang kekal di situ. Menurut Pak Basar, Hashim bukan main marah lagi kepada rakan-rakannya yang cabut lari.
Bila ditanya kepada rakan-rakan yang ikut Hashim, semuanya kata itulah kali pertama dan terakhir mereka pergi menurun. Tak nak ikut lagi. Takut dan serik.
Sehingga hari ini, Pak Basar tidak tahu apakah kawan-kawannya itu masih ‘setia’ dengan nombor ekor atau tidak. Menurutnya ada yang dah naik haji dan seorang daripadanya sudah meninggal.
Bagaimana dengan Malik? Kata Pak Basar kali terakhir dia bertemu Malik adalah semasa pulang dari menunaikan fardu haji tahun lepas.
- Oleh: Azrey Abdul Talib, Setapak, Kuala Lumpur.

