NIAT dua orang rakan karib untuk menghadiri satu temu duga kerja bertukar menjadi insiden cemas tetapi “melucukan” setelah salah seorang daripada mereka menerima tujuh jahitan di kepala selepas jatuh telentang ke lantai ketika solat di atas katil sebuah hotel di Damansara.
Nurul Afina Noor Ree, 23 telah memuat naik video rakan karibnya, Afiqah Zaidi, 23 yang solat di atas katil dan seterusnya video tersebut memaparkan telekung yang dipakai oleh Afiqah berdarah di bahagian kepala di aplikasi sosial TikTok baru-baru ini.
Video berkapsyen “kesimpulannya hati-hati” itu tiada penjelasan yang jelas tentang apa yang telah berlaku kerana babak Afiqah solat di atas katil terus di “cut” kepada dirinya berada di ruang menunggu Pusat Kecemasan Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kepala yang berdarah.
Perkara ini menyebabkan pengguna-pengguna lain yang menonton video tersebut agak terpinga-pinga serta keliru dengan apa yang sedang berlaku dan mula berteka-teki di ruangan komen.
“Apa jadi ni ke kena kipas ke lampu jatuh atas kepala? Aduh pagi2 lagi dah kena buat soalan KBAT sebab video takde jawapan hahaha,” tulis salah seorang pengguna, @kayafandi di ruangan komen.
Malah, ada juga yang memberi reaksi berbeza bahawa mereka terhibur dengan video tersebut biarpun tidak memahami apa yang berlaku.
Video pendek yang tular itu telah mencapai 4.3 juta tontonan setakat hari ini.
Baca artikel berkaitan: Gadis elektrik curi tumpuan warganet, ada sanggup tawar hantaran tinggi masuk meminang
Menceritakan kembali detik cemas itu kepada UtusanTV, Afina menjelaskan bahawa Afiqah terpaksa menunaikan solat Isyak pada waktu itu di atas katil kerana bilik hotel yang mereka sewa agak sempit dan tiada ruang untuk solat di atas lantai.
“Pada waktu itu kami cari hotel yang mana ada sahaja sebab nak duduk hanya satu malam. Kami pun tak sangka yang bilik tu kecil sangat, jadi kami terpaksa solat atas katil,” jelas Afina.
Ketika rakannya, Afiqah sedang menunaikan solat Isyak, Afina sedang berada di dalam tandas sebelum dirinya terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh.
“Lepas tu saya terdengar Afiqah memanggil nama saya dan meminta tolong. saya keluar je dari tandas, saya nampak dia telentang di tepi katil sambil tergelak-gelak dan saya turut tergelak,” tambah Afina.
Setelah membantu Afiqah untuk bangun, kemudian Afina perasan bahawa bahagian telekung di kawasan kepala Afiqah terdapat tompokan darah.
“Kitorang pun panik la dan terus google hospital terdekat. Lepas tu saya drive pergi kecemasan PPUM untuk dapatkan rawatan Afiqah”, jelas Afina lagi.
Afiqah telah menerima sebanyak tujuh jahitan di bahagian kepalanya kerana luka tersebut agak panjang.
Kata Afina, mereka syak bahawa kepala Afiqah terkena bucu dinding atau bucu pintu tandas jika dilihat kepada luka yang agak panjang tersebut.
Afiqah yang risau dengan keadaan dirinya, terpaksa membatalkan niat untuk menghadiri temu duga kerja dan terus pulang ke halaman mereka di Ipoh, Perak keesokan harinya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

