MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) wajar mempertimbangkan semula arahan bekerja dari rumah (WFH) berikutan peningkatan kes harian Covid-19 dan kluster tempat kerja.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam keadaan sekarang, adalah memadai sekurang-kurangnya separuh atau 50 peratus kakitangan dikehendaki bekerja dari rumah jika tidak 70 peratus seperti sebelum ini.

Menurutnya, ini berikutan sudah beberapa hari kes positif Covid-19 di Malaysia melebihi angka 2,000 manakala beberapa kluster tempat kerja direkodkan.
Malah katanya, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini turut mendesak WFH diteruskan demi keselamatan penjawat awam.
“Benar WFH bukan formula yang dapat mengatasi secara menyeluruh penularan pandemik Covid-19.
“Tetapi sekurang-kurangnya ia sedikit sebanyak membantu mengekang penularan wabak itu yang semakin meningkat,” tulisnya di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, umum mengetahui bahawa seorang pekerja dijangkiti Covid-19 boleh menularkan penyakit itu terhadap ramai pekerja lain yang kemudiannya berpotensi menularkan penyakit itu keatas ahli keluarga apabila pulang ke rumah.
Kerajaan katanya bergantung sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, tetapi sejauh manakah pematuhannya dapat dipastikan ketika beliau dimaklumkan SOP paling asas iaitu penjarakan fizikal 1 meter pun kadangkala sukar dipatuhi disebabkan tuntutan kerja.
“Keadaan itu ditambah dengan mungkin ada yang dijangkiti, tetapi tidak mempunyai tanda-tanda awal jangkitan. Alat pengimbas suhu badan tidak akan dapat menghalang mereka yang dijangkiti ini daripada berada dalam pejabat bersama-sama pekerja lain.
“Justeru, langkah WFH itu masih perlu sebelum negara sekurang-kurangnya mencapai imuniti berkelompok. Malah ia lebih diperlukan apabila melihat kepada proses memutuskan rantaian penularan wabak itu melalui Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan yang terlalu perlahan,” tambahnya.

