Hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia dalam syariat Islam. Ia merupakan penghulu kepada segala hari. Kelebihan hari Jumaat banyak disebutkan dalam hadis-hadis Baginda s.a.w. Kerana itu pada hari Jumaat kita disyariatkan untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid. Malah ibadah mulia ini juga dijanjikan pahala yang berlimpah ruah dari Allah S.W.T.
Seruan kepada solat Jumaat disebutkan Allah S.W.T. dalam ayat 9-10 dari surat al-Jumuah dengan mafhumnya,
“Hai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kau mengetahui.
Apabila telah selesai menunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Dalam sebuah hadis yang lain, Baginda s.a.w. turut mengingatkan umatnya untuk hadir ke masjid lebih awal kerana para malaikat akan mencatit setiap langkah dan kehadiran mereka sehingga imam naik ke mimbar. Sabda Baginda s.a.w.
“Apabila hari Jumaat tiba, maka para malaikat akan hadir di setiap pintu-pintu masjid. Mereka akan mencatat setiap orang yang datang dari yang pertama, lalu berikutnya dan berikutnya. Hingga ketika imam telah naik ke mimbarnya para malaikat pun menutup catatan-catatannya lalu mereka pun ikut mendengarkan khutbah.” HR Bukhari
Orang yang bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat akan beroleh ganjaran dan meraih keutamaan yang besar. Malah dalam satu hadis yang lain, setiap langkah mereka beroleh ganjaran seperti berpuasa dan bersolat setahun.
Sabda Baginda s.a.w. “Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mencuci kepala dan anggota badannya yang lain, lalu ia pergi di awal waktu atau ia pergi dan mendapati khutbah pertama, lalu ia mendekati imam, mendengar khutbah serta diam, maka setiap langkah kakinya terhitung seperti puasa dan solat setahun” HR Tirmizi

Begitu juga dalam hadis lain Baginda s.a.w. turut menyebutkan ganjaran pahala bagi yang hadir awal ke masjid seperti melakukan korban seekor unta. Sabda Baginda s.a.w.
“Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat sebagaimana mandi janabah, lalu berangkat menuju ke masjid maka dia seolah berkorban dengan seekor unta. Barangsiapa yang datang pada kesempatan (waktu) kedua maka dia seolah berkorban dengan seekor sapi.
Barangsiapa yang datang pada kesempatan (waktu) ketiga maka dia seolah berkorban dengan seekor kambing yang bertanduk. Barangsiapa yang datang pada kesempatan (waktu) keempat maka dia seolah berkorban dengan seekor ayam.
Barangsiapa yang datang pada kesempatan (waktu) kelima maka dia seolah berkorban dengan sebutir telur. Dan apabila imam sudah keluar (untuk memberi khutbah) maka para malaikat hadir mendengarkan zikir (khutbah tersebut) HR Bukhari & Muslim
Demikian kelebihan bagi yang hadir ke masjid di awal waktu untuk solat Jumaat. Apatah lagi di musim covid 19 ini, dengan kehadiran yang awal, insya Allah anda mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menunaikan solat berbanding mereka yang lewat kerana tempat yang terhad. Wallahu a’lam.
_____________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram