berubah cantik syukur jelik

Semasa saya di peringkat umur sekolah rendah dahulu, saya masih ingat lagi betapa marah dan sensitifnya pelajar-pelajar perempuan apabila ada pelajar lelaki yang memberi gelaran kepada mereka seperti “Minah punggung besar”, atau apa-apa gelaran merujuk kepada organ-organ sulit tubuh mereka.

Bagi para pelajar perempuan terbabit, gelaran-gelaran yang seumpamanya itu bukan setakat memalukan, malah menjatuhkan maruah dan harga diri sebagai gadis yang masih suci, bersih, dan belum dinodai oleh mana-mana lelaki.

Kerana itulah Islam melarang keras umatnya daripada menceritakan kepada orang lain perkara-perkara yang boleh mengaibkan seseorang dan menjatuhkan maruahnya.

Allah Taala dalam surah al-Hujurat: 12 berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?

(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Islam melarang keras membuka aib seseorang

Peringatan yang sama juga diberikan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar,

“Seseorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak akan menindas dan mengkhianati saudaranya. Oleh itu, sesiapa yang menolong menyelesaikan keperluan saudaranya, Allah akan menyelesaikan keperluannya, dan sesiapa yang membuka keaiban seorang Muslim, Allah akan membuka keaibannya pada hari kiamat kelak.

Sebaliknya, sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat nanti.” HR Bukhari & Muslim

Aib itu subjektif

Namun begitu, keaiban sesuatu yang subjektif. Sesuatu yang aib pada kaca mata seseorang mungkin tidak menjadi apa-apa halangan bagi seseorang yang lain.

Malah, sesuatu perkara itu mungkin amat memalukan bagi kanak-kanak, tetapi sebaliknya pula tidak bagi orang-orang dewasa. Oleh itu, persepsi seseorang tentang hal-hal yang mengaibkan boleh berubah mengikut tahap kematangan, keilmuan, pengalaman, budaya, dan cara berfikir.

Penyakit kencing manis contohnya, mungkin sesuatu yang mengaibkan bagi seseorang. Namun pada masa yang sama, kita juga sering kali terdengar seseorang yang mengaku secara terbuka, termasuk menulis dalam status di Facebook bahawa dia sekarang ini mengalami penyakit yang dianggap popular dalam kalangan penduduk negara ini.

Begitu juga, mempunyai saiz kemaluan yang besar adalah sangat memalukan bagi kanak-kanak lelaki, tetapi sebaliknya tidak bagi lelaki dewasa yang berbangga dengan anugerah tersebut.

Persepsi tentang keaiban juga mungkin tidak sama antara satu kaum dengan satu kaum yang lain.

Contohnya, kita dapati wanita-wanita di negara-negara Afrika sangat berbangga dengan saiz punggung yang dimiliki. Semakin besar punggung wanita tersebut, semakin mahallah harganya. Kerana itulah kita dapati, dalam tarian asli kaum-kaum yang terbabit, penggunaan punggung penari-penari wanitanya amat dititikberatkan.

Manakala, bagi wanita-wanita di Barat pula, mereka amat berbangga jika memiliki payudara yang besar lagi padat.

Situasi ini sering ditonjolkan dalam filem-filem Hollywood apabila para pelakon wanita yang seksi sering digambarkan menggunakan saiz payudara mereka yang besar untuk menarik minat kaum lelaki yang ingin dijadikan mangsa.

Tidak ketinggalan, barisan selebriti Barat, termasuk artis-artis Hollywood juga sering digambarkan mempunyai saiz buah dada yang besar.

Justeru, tidak peliklah jika wanita-wanita di Barat berlumba-lumba untuk memiliki saiz payudara yang diidam-idamkan sehingga sanggup berbelanja beribu-ribu pound untuk menjalani rawatan kecantikan dan pembesaran payudara, termasuklah menjalani pembedahan payudara, suntikan hormon estrogen, penggunaan krim-krim tertentu, dan sebagainya.

Lupa diri

Fenomena ingin kelihatan cantik, menarik, dan seksi ini bukan sahaja berlegar dalam kalangan wanita-wanita di Barat, tetapi turut juga menyerang nafsu serakah wanita-wanita di Timur, termasuk wanita-wanita Muslimah di negara ini.

Maka berbondong-bondonglah golongan hawa ini mengunjungi pusat-pusat kecantikan dan kedai-kedai yang menjual makanan dan produk kesihatan daripada pelbagai jenama, sama ada dari dalam, atau luar negara.

Wajah yang menarik menjadi idaman setiap orang

Antara produk kesihatan yang sentiasa mendapat permintaan dan perhatian ramai ialah produk pelangsingan badan. Hampir semua wanita percaya, tubuh badan yang kurus dan langsing mampu menarik perhatian para lelaki, dan seterusnya menaikkan saham wanita tersebut, termasuklah yang sudah bersuami sekalipun.

Bagi wanita yang gemuk gedempol, atau sekarang ini disebut obesiti, tidak ada apa lagi yang menjadi keutamaan dalam hidupnya melainkan berusaha untuk kembali kepada berat badan yang normal.

Lalu, berbagai-bagai jenama produk pelangsingan badan yang akan dicuba olehnya, di samping berbagai-bagai jenis peralatan senaman mungkin akan turut dibeli dan diamalkannya di rumah.

Selagi berat badannya tidak turun ke tahap yang ideal, dan selagi penampilan tubuhnya tidak secantik Erra Fazira, selagi itulah wanita tersebut akan dihantui dengan perasaan kurang keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai, merasa rendah diri dengan penampilan yang kurang menarik, dan berbagai-bagai lagi elemen psikologi menghantui benak fikirannya.

Akhirnya, setelah berjaya menguruskan tubuh, wanita tersebut mula mendapat perhatian ramai, termasuk daripada wakil syarikat produk pelangsingan badan yang diamalkannya sebelum itu.

Produk pelangsingan badan sering mengekploitasi wanita sebagai bahan penarik

Lalu rundingan pun diadakan bagi melantiknya sebagai duta syarikat tersebut. Pucuk di cita, ulam mendatang. Wanita tersebut sangat bersyukur dengan apa yang berlaku ke atas dirinya sekarang ini. Bukan setakat diri menjadi lebih sihat dan menarik, rezeki pula semakin bertambah.

Tanpa ragu-ragu dan waswas, wanita tersebut akhirnya bersetuju menjadi duta dan model syarikat terbabit dengan syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.

Neraca keaiban berubah

Maka, dipertontonkanlah kepada masyarakat bentuk tubuhnya dua tiga tahun yang lepas yang tidak ubah seperti tempayan budu dan di sebelahnya foto tubuhnya yang terkini setelah berat badannya berkurangan sebanyak 20 kilogram.

Sambil itu, mulutnya mengucapkan syukur kepada Allah di atas nikmat kecantikan, kesihatan, dan pertambahan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya.

Lalu, berbanggalah ia dengan bentuk pinggangnya yang ramping, punggung yang mongel, dadanya yang bidang, kulitnya yang putih melepuh, betisnya yang licin bak sutera, bau tubuhnya yang memikat, keyakinan diri yang semakin bertambah, mendapat perhatian dan pujian daripada rakan-rakan, punca pendapatan yang semakin melimpah ruah, dari bertutup mula terdedah dan pelbagai lagi bentuk nikmat yang tidak terhingga.

Pendek kata, semua perkara yang dianggap olehnya sebagai keaiban diri sebelum ini, kini telah bertukar menjadi kebanggaan yang akan terus diuar-uarkan olehnya sebagai mengesahkan kemujaraban produk yang telah digunakan dan kini diiklankan olehnya itu.

Atau dengan kata lain, neraca keaiban yang digunakan oleh wanita terbabit ketika ini tidak lagi sama dengan neraca keaiban ketika ia gemuk gedempol sebelum ini. Atau, adakah neraca tersebut sebenarnya sudah berubah lantaran habuan wang ringgit yang diterima oleh model terbabit?

Manakala, pengucapan syukur dan Alhamdulillah yang dilafazkan olehnya itu pula dianggap bertepatan (kononnya) dengan firman Allah surah al-Dhuha, ayat 11

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya

Syukur bukan ditempatnya

Namun, sayangnya mereka lupa, atau sebenarnya jahil bahawa antara maksud bersyukur tersebut ialah melakukan amal perbuatan yang menepati kehendak pemberi nikmat itu sendiri, iaitu Allah S.W.T. termasuklah tidak melanggar syariat-Nya.

Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat sekarang ini terdapat banyak iklan yang memaparkan tulisan, visual dan ucapan-ucapan yang kadang-kadang boleh membuatkan kita merasa malu.

Kalau dahulu, iklan-iklan seperti ini hanyalah berlegar dalam bentuk sebaran bercetak, sama ada di atas kertas A4, atau pun dalam bentuk pamflet, namun kini iklan-iklan tersebut telah pun berjaya memasuki corong radio, dan skrin televisyen, malah semakin meluas berleluasa di alam siber.

Malahan, sebagai ibu bapa, kita kadang-kadang terasa malu jika kebetulan ketika iklan tersebut disiarkan, di sisi kita terdapat anak-anak yang turut sama menonton televisyen.

Lebih parah lagi jika si anak tersebut mendapat mesej yang salah daripada iklan-iklan yang dilihat, iaitu perasaan malu hanyalah sinonim dengan keaiban yang terdapat pada diri seseorang itu, bukannya berdasarkan kepada hakikat bahawa malu yang sebenarnya ialah malu untuk melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Allah.

Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kita menilai kembali dasar dan hala tuju perubatan alternatif dan komplimentari negara, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan pemakanan tambahan dan penjagaan kesihatan, dan iklan-iklan yang berkaitan dengan perkara tersebut.

Jangan tunggu sehingga ada iklan yang memaparkan cabaran daripada seorang wanita yang cantik dan seksi kepada para lelaki supaya mencuba mencium bau alat sulitnya yang harum, jangan tunggu sehingga adanya iklan-iklan seperti itu barulah kita mahu bertindak! Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah, Pensyarah di Jab. Bahasa Moden, Fak. Bahasa dan Komunikasi, (UPSI)

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram