PENGURANGAN atau pengecualian kompaun.
Itu jaminan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung isu kompaun RM50,000 ke atas peniaga makanan di Kelantan yang mengundang simpati ramai hari ini.
Menurut Dr Adham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian semula terhadap kes seorang peniaga yang dikompaun RM50,000.
Katanya, KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.
“KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera.
“Untuk itu, KKM akan membuat penilaian semula bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger di Kota Bharu kerana berniaga melebihi waktu ditetapkan menjadi tular hari ini.
Wan Mohd Faisal dilaporkan berniaga di hadapan rumahnya pada kira-kira 11 malam.
Tambah menghangatkan isu itu apabila ada peniaga colek juga dikenakan kompaun yang sama kerana isu berkaitan.
Pelbagai selebriti juga melahirkan simpati dan bersedia membantu peniaga berkenaan melunaskan bayaran kompaun berkenaan.
Baca artikel berkaitan: Colek atau abang burger, kompaun RM50,000 terlalu tinggi – Ismail Sabri
Kecelaruan berulang, Takiyuddin kata patut kompaun RM10,000 bukan RM50,000
Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan garis panduan yang dikeluarkan sebelum ini memperuntukkan kompaun RM10,000 untuk kesalahan berniaga lebih masa.
Sementara itu, Dr Adham berkata, tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukannya menghukum semata-mata.
Jelasnya, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

