Khairy Jamaluddin berbual dengan penerima vaksin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 (PPV) Dewan 2020, di Kangar, baru-baru ini.

MENGAMBIL kira kegusaran rakyat mengenai vaksin jenis AstraZeneca yang tular dalam media sosial, kerajaan mengambil keputusan untuk menawarkannya kepada orang ramai secara sukarela.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, vaksin AstraZeneca itu akan ditawarkan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas dalam masa terdekat.

Beliau berkata, satu sistem tempahan akan dibuka kepada orang ramai untuk membuat janji temu dengan ia akan dilaksanakan berdasarkan kaedah first come, first serve.

Kata Khairy, ia sekali gus menjadikan vaksin keluaran United Kingdom (UK) itu tidak akan digunakan dalam PICK dengan program tersebut hanya menggunapakai Pfizer-BioNTech dan Sinovac setakat ini.

Buat permulaan, Khairy berkata, agihan sebanyak 268,600 dos AstraZeneca itu akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur selepas mengambil kira peningkatan kes di dua negeri berkenaan.

“Kita ambil perhatian terhadap kegusaran dan keraguan sesetengah pihak mengenai vaksin ini walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mempunyai pandangan sama dengan kumpulan pakar iaitu AstraZeneca selamat dan berkesan.

“Namun begitu, kita memahami mungkin sains dan fakta tak dapat atasi kebimbangan orang ramai dan pada masa sama kita tak mahu menggugat PICK. Jadi, saya dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengambil keputusan ini.

“Agihan vaksin ini tidak dihadkan kepada golongan dalam fasa kedua PICK tetapi dibuka kepada sesiapa sahaja dengan mereka yang berdaftar bagi mendapatkan vaksin perlu menjalani proses saringan kesihatan terlebih dahulu di PPV tersebut,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK hari ini.

Baca artikel berkaitan: Jumlah individu lengkapkan dua dos vaksin hampiri 530,000

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyediakan PPV khas bagi melaksanakan proses pemberian vaksin AstraZeneca itu.

“Saya juga telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya dos kedua vaksin ini diberikan selang 12 minggu bagi membolehkan lebih ramai mendapatkan vaksin tersebut.

“Kita jangkakan bekalan tambahan AstraZeneca akan sampai bulan Mei ini untuk kita berikan dos kedua,” jelas beliau.

Pada masa sama, Khairy turut memaklumkan telah menawarkan agihan dos vaksin AstraZeneca kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram