AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi di rumahnya di Ketereh dipercayai akibat serangan jantung.
Menurut Setiausaha DUN Melor Tanazi Ariffin, ketika bangun dari tidur awal pagi tadi Allahyarham terjatuh sebelum sempat ke bilik air.
Katanya, sebelum ini beliau pernah mendapat rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
“Bagaimana ketika mendapat susulan beberapa bulan lepas doktor mengesahkan keadaan jantungnya didapati baik. Malah semalam arwah hadir ke pejabat seperti biasa.
“Arwah menyiap urusan pembayaran skim takaful kifallah untuk warga emas di Dun Melor yang meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di mussala berhampiran rumahnya selepas solat Jumaat hari ini.
Allahyarham Dr. Md Yusnan merupakan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri.
Sebelum dipilih sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013, Allahyarham merupakan bekas pembantu Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Romaini Daud dan enam anak.
Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
“Mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS Kelantan, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya Pas negeri dalam Facebooknya.
Menurut beliau , selepas dilantik sebagai Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan pada tahun 2013, Allahyarham Dr Md Yusnan berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya lagi.

