amalan terbaik malam al-qadar

Bulan Ramadan mempunyai sekian banyak kelebihan dan keistimewaan antaranya adalah malam al-Qadar. Disebutkan dalam al-Quran, malam al-Qadar adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Malam itu adalah malam yang penuh kemuliaan dan keberkahan. Pada malam itu turunnya para malaikat termasuklah Jibril ke bumi untuk mengatur segala urusan dengan membawa kedamaian dan ketenangan.

Janji Allah, barang siapa yang beribadah kepada Allah dengan seikhlas hati pada malam tersebut dengan memohon keampunan maka segala dosa-dosa yang dilakukannya walaupun sebanyak buih dilautan tetap akan diampunkan Allah S.W.T.  

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Baginda s.a.w.

Sesiapa yang melakukan qiyam pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran beserta keampunan nescaya akan dihapuskan segala dosa-dosanya yang lalu” HR Bukhari

Malam al-Qadar menurut Baginda s.a.w. berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan terutama pada malam-malam yang ganjil. Ini berdasarkan hadis dari Jabir bin Samurah r.a. dari Baginda s.a.w.

carilah malam al-Qadar pada 10 malam terakhir pada malam yang ganjil” HR Ahmad

Malah saidatina Aisyah r.ha turut menceritakan bahawa,

“Adapun Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda s.a.w. membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut” HR Ibnu Hibban  

Justeru inilah amalan terbaik yang boleh dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan untuk bertemu Lailatul Qadar antaranya:

Pertama: Solat qiamulail

Syarat qiamulail adalah tidur sebentar dan bangun pada tengah malam untuk mendirikan solat. Ini yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. sebagaimana hadis yang disebutkan di atas. Antara solat yang boleh dilakukan adalah solat sunat tarawih, tahajjud, taubat, hajat, tasbih dan witir.

Kedua: berdoa memohon keampunan

Antara kelebihan yang Allah berikan pada pada malam itu adalah penghapusan dosa. Walau dosa sebanyak buih dilautan pun tetap Allah ampunkan dengan syarat berdoa dan meminta kepadanya degan penuh keazaman dan keikhlasan. Abu Hurairah r.a. dari Baginda s.a.w.

sesiapa yang melakukan qiamulail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu” HR Bukhari

Ketiga: Berdoa seperti mana yang diajarkan Baginda s.a.w.

Baginda ada menitipkan doa yang boleh dibaca pada malam tersebut iaitu,

“Allahumma a’uzu bi ridhaka min sakhatika wa bi mua’fatika min ‘uqubatika”

(Ya Allah! Aku memohon perlindungan dengan reda Mu daripada kemarahan Mu dan aku berlindung dengan kemaafan Mu daripada kemurkaan Mu) HR Muslim

Keempat: Beri’tikaf di masjid

Setiap kali tiba 10 malam terakhir Ramadan, Baginda s.a.w. akan beri’tikaf. Dari Abu Hurairah r.a.

Bahawa Nabi s.a.w. beri’tikaf pada setiap kali Ramadan pada 10 hari. Tetapi beri’tikaf 20 hari pada tahun kewafatannya” HR Bukhari

Kelima: Mengejutkan ahli keluarga dan beribadah bersama

Baginda s.a.w. tidak bersendirian beribadah kepada Allah pada malam tersebut melainkan bersama ahli keluarganya yang lain. Menurut Aisyah r.ha.

“Adapun Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda s.a.w. membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut” HR Ibnu Hibban  

Keenam: Bertadarus membaca al-Quran dan berzikir

Membaca al-Quran dan berzikir mengingati Allah adalah amalan yang mengundang pahala yang besar dan dituntut. Dalam sebuah hadis menyebutkan dari Amru bin A’sh Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesiapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran, maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai” HR Abu Daud

Semoga kita semua berupaya melaksanakan segala ibadah dan amalan ini serta beroleh ganjaran sebagaimana yang dijanjikan Allah S.W.T. Wallahu a’lam

Artikel Berkaitan: 8 peristiwa penting berlaku dalam bulan Ramadan, Inilah amalan mudah yang meleburkan dosa walau seluas lautan,

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram