Ketika musim panas terutamanya pada ketika suhu meningkat, bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah kulit malah cuaca panas juga boleh menyebabkan gangguan tidur.
Kajian membuktikan suhu yang paling ideal untuk mendapatkan tidur yang berkualiti adalah 17 darjah selsius, namun jika anda sukar untuk mendapatkan suhu tersebut di dalam bilik, mungkin tip berikut boleh diikuti.
1. Kekal hidrat
Minum air yang banyak membantu menurunkan suhu badan. Ambillah segelas air sebelum tidur tetapi elakkan dari minum terlalu banyak kerana ia mungkin mengganggu waktu tidur apabila terpaksa kerap ke bilik air. Cuba minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari agar tubuh kekal hidrat sepanjang hari.

2. Tutup tingkap
Ada antara kita yang mungkin percaya dengan membuka tingkap bilik membolehkan suhu bilik menurun atau memudahkan angin masuk ke bilik. Anda sebenarnya salah kerana anda seharusnya membiarkan langsir dan tingkap bilik tertutup kerana jika sebaliknya, anda sebenarnya menjemput angin dan udara panas masuk. Turunkan langsir dan tutup tingkap ketika hari siang agar bilik kekal sejuk.

3. Mandi air sejuk
Jadikan rutin mandi air sejuk sebelum tidur agar suhu badan mudah diturunkan. Air sejuk sangat efektif dan cara paling pantas untuk menurunkan suhu. Namun awas bukan ketika anda demam.

4. Ambil makan malam yang ringkas
Makan makanan yang kaya dengan karbohidrat bermakna tubuh anda akan bekerja lebih masa untuk memproses makanan tersebut dan ini mencipta suhu yang lebih tinggi dalam badan. Ambil makanan yang lebih ringan seperti salad dan buah-buahan pada waktu malam dan pastikan makan sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu tidur agar tubuh dapat berehat dengan lebih lama.

5. Pakai pakaian yang sesuai
Mungkin terdapat banyak baju tidur atau pijama yang cantik dan glamor. Namun selesakah dipakai ketika musim panas? Pakailah pakaian yang sesuai seperti cotton agar kulit lebih mudah bernafas sekaligus menjadikan tubuh lebih sejuk.

6. Lindungi kulit
Jika anda berada di luar sepanjang hari dan terdedah kepada matahari, pastikan anda melindungi kulit dengan memakai pelembab atau pelindung matahari yang mengandungi SPF setiap hari walaupun anda berada di dalam rumah, bangunan atau pejabat. Jika kulit anda terbakar, gunalah krim penyejuk atau losen yang sesuai dan bertindak pantas meredakan kesan tersebut.

7. Padam semua alat elektronik
Jauhi atau padamkan semua alat-alat elektronik seperti telefon, tablet dan televisyen sebelum tidur kerana peralatan elektronik tersebut mengeluarkan cahaya biru yang menghalang pengeluaran hormon melatonin. Berikan diri anda digital detox pada waktu malam sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur.


