ANALISIS
Membaca apa yang berlaku di Kelantan, tak tahu apa reaksi nak bagi sama ada nak gelak ke, nak sedih ke atau nak marah ke, apabila sejak kelmarin hingga pagi ini 1,426 kenderaan diarah berpatah balik kerana gagal menunjukkan surat kebenaran polis.
Entah apa ada dalam kepala mereka apabila sanggup mengambil risiko sedemikian semata-mata untuk menyambut hari raya.
‘’Kita tidak menyangka setiap masa ada cubaan perantau untuk masuk ke Kelantan demi menyambut Aidilfitri di kampung halaman walaupun tahu larangan rentas negeri,’’ kata Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat.
Sebenarnya sebelum ini tidak ada masalah pun mereka nak berhari raya di kampung tetapi sekarang musim Covid-19 tengah mengganas sebab itulah kerajaan buat keputusan melarang rentas negeri dan rentas daerah.
Tetapi malangnya ada kelompok yang suka buat ‘kerja-kerja bodoh’, nak rentas juga daerah, negeri dengan alasan entah apa-apa yang kita tahu sebenarnya nak balik berhari raya.
Cara mereka bersusah payah nak balik kampung itu macam la raya hanya disambut kat kampung dia sahaja. Lepas itu bila kena saman, bila kena suruh patah balik mula nak marahkan polis.
Sebagai individiu yang beberapa kali berurusan dengan pihak polis untuk mengambil dan menghantar anak di sebuah IPT di Pahang, penulis faham polis tidak menyusahkan orang ramai. Kalau mereka ada dokumen dan alasan yang kuat kenapa perlu rentas negeri atau daerah, polis akan benarkan termasuk di sekatan jalan raya.
Contohnya, baru-baru ini kerajaan memutuskan tidak perlu cop polis atau borang kebenaran daripada polis untuk mengambil atau menghantar anak di IPT dan sekolah, apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah menunjukkan surat daripada sekolah atau IPT terlibat. Walaupun hanya ibu bapa sahaja boleh pergi itu sudah ‘Alhamdulillah’.
Langkah ini amat tepat kerana ia bukan sahaja tidak menyusahkan ibu bapa tetapi juga akan mengurangkan beban pihak polis yang sudah mempunyai banyak tugas lain yang mahu dilakukan.
Tetapi kalau ada puak yang sengaja nak ambil kesempatan dengan memberi pelbagai alasan tanpa bukti kukuh, dah pastilah polis tak lepaskan. Beri alasan ada ‘kecemasan’ tapi tak ada dokumen bagi menyokongnya, alamat kena patah balik la, adakah nak balik raya kat kampung pun nak dianggap ‘kecemasan’? Kalau macam itu berjuta la dalam ‘kecemasan’ bila nak raya Khamis ini.
Penulis menyokong penuh ketegasan polis dalam soal rentas negeri dan daerah ini. Tak payah ‘beri muka’ kepada puak-puak yang buat ‘kerja bodoh’ ini. Saman aje kena maksimum pun ok sebab mereka ini sudah terang-terang berniat melanggar undang-undang walaupun tahu ada larangan.
Bila polis ambik tindakan kena saman beribu-beribu mulalah buat muka ‘sepuluh sen’, masukkan gambar surat saman dalam media sosial, nak raih simpati tetapi tak nak pula mengaku apa ‘kerja bodoh’ dia buat sampai polis saman.
Apabila heboh maka ada la ‘wira-wira tak bertempat’ muncul menggesa kerajaan supaya bertimbang rasa dalam mengenakan kompaun, mereka minta budi bicara digunakan.
Cubalah kelompok ini tanya balik, orang yang nak rentas daerah atau negeri itu, mereka ada budi bicara tak untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh menyusahkan pihak polis.Tanyalah puak tu mereka tahu ke atau buat-buat tahu pasal larangan kerajaan.
Kalau nak bela siasat la dulu, ingat polis suka ke nak saman orang tertentu pasal? Ingat polis suka ke nak minta orang berpatah balik walaupun mereka dah dekat nak sampai destinasi mereka?
Tetapi undang-undang kena patuh dan dilaksanakan. Sebab itulah polis terpaksa juga keluarkan saman supaya ia menjadi pengajaran kepada individu lain supaya jangan buat ‘kerja-kerja bodoh’ yang menyusahkan polis.
Tak payah la nak marah polis, mereka hanya menjalankan tugas. Kalau rasa nak tahu macam mana susahnya mereka berkorban di sekatan jalan raya, pi tinjau sendiri, duduk dengan mereka sehari suntuk lihatlah apa yang mereka harungi ketika berurusan dengan orang ramai.
Jangan la main komen bantai polis bila baca orang kena saman muatnaik surat saman dalam media sosial. Nak komen atau nak bela pun agak-agaklah.
Penulis juga menyokong penuh tindakan polis untuk memburu mereka yang merosakkan penghadang jalan di lorong tikus seperti mana berlaku di Besut dan Pasir.
Ni semua kerja individu yang ‘tak segar’. Orang yang buat macam tu perlu diburu, ditangkap dan dihumban dalam penjara sebab mereka bagaikan kelompok tak bertamadun yang tak tahu menghormati undang-undang.
Apapun penulis berharap, semua pihak akan mematuhi arahan supaya tidak melakukan rentas negeri atau rentas daerah sepanjang Aidilfitri ini. Marilah kita memberi kerjasama penuh anggota keselamatan yang bertugas terutama di sekatan jalan raya.
Kasihanilah mereka yang bertungkus lumus menjaga keselamatan kita demi menghalang penularan wabak Covid-19 yang kini berada pada tahap amat serius. Ada yang berhujah itu memang tugas mereka, betul….tetapi itu tidak bermakna kita boleh melakukan ‘perbuatan bodoh’ yang boleh menyusahkan pasukan itu dan diri sendiri.

