LEGENDA berbasikal negara, M Kumaresan dilantik sebagai Pengerusi Panel Pakar Program Pembangunan Sukan Olimpik bagi sukan berbasikal dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat di peringkat negeri bermula tahun ini.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penubuhan panel itu bertujuan memperkasakan ekosistem pembangunan atlet menerusi pendekatan lebih menyeluruh, berasaskan prestasi serta disokong kepakaran daripada pelbagai disiplin.
Kumaresan mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama layak ke acara akhir perlumbaan mata pada Sukan Olimpik Barcelona 1992.
Panel itu turut dibarisi bekas pelumba Olimpik London 2012, Amir Mustafa Rusli yang kini jurulatih kebangsaan acara endurance, jurulatih pecut kebangsaan, Harnizam Basri, serta bekas pelumba kebangsaan, Mohd Harrif Saleh yang pernah meraih tiga kemenangan peringkat di Le Tour de Langkawi.
Turut menganggotai panel ialah Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Firdaus Arshad; wakil Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad serta wakil Kementerian Pendidikan (KPM), Abdul Hadi Abdul Rahman.
Menurut MSN, panel itu akan berperanan memastikan pembangunan atlet dilaksanakan secara sistematik bermula daripada proses pencarian bakat sehingga ke peringkat prestasi tinggi.
Selain itu, panel berkenaan turut dipertanggungjawabkan merancang hala tuju program pembangunan, memantau prestasi atlet dan jurulatih, membantu pemilihan atlet, jurulatih serta pusat latihan, selain memberi input berkaitan sains sukan dan pembangunan prestasi.
Bagi tahun ini, Program Pembangunan Sukan Olimpik bagi sukan berbasikal memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama.
Antaranya ialah memperkukuh Program Pencarian Bakat (Talent Identification), pelaksanaan Kem Bakat dan Kem Spesifik mengikut disiplin bagi meningkatkan kemahiran teknikal, fizikal serta taktikal atlet.
Program itu turut memberi penekanan kepada pendedahan latihan dan pertandingan di luar negara bagi membolehkan atlet menimba pengalaman dalam persekitaran berprestasi tinggi, selain meningkatkan kepakaran jurulatih di peringkat negeri.
Semua inisiatif itu disasarkan untuk mempercepat pembangunan atlet muda ke tahap prestasi tinggi serta melahirkan lebih ramai pelapis berkualiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, berkata gabungan kepakaran dalam panel berkenaan diyakini mampu memperkukuh ekosistem pembangunan atlet berbasikal negara.
“Semua input daripada panel ini akan menjadi asas penting dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi tinggi yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“MSN yakin pelantikan Panel Pakar Berbasikal 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat berbasikal negeri yang lebih mampan dan progresif, sekali gus menyokong aspirasi negara melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia, Komanwel, Dunia dan Olimpik,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

