ISMAIL SABRI foto FACEBOOK MKN

KERAJAAN serius dalam usaha menangani penularan virus COVID-19 walaupun tidak memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bermula esok seperti PKP1.0 yang menutup terus semua aktiviti ekonomi dan sosial dalam negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan pengalaman PKP1.0 dahulu, kerajaan mendapati kebanyakan rakyat susah menjalani kehidupan kerana aktiviti ekonomi dihentikan, perniagaan ditutup dan ramai kehilangan pekerjaan.

“PKP3.0 diperkenalkan seperti PKP2.0 kerana ia mengimbangi keperluan ‘kesihatan’ dan keperluan ‘kehidupan rakyat’,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Katanya, ketika pelaksanaan PKP1.0, kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM24 bilion sehari akibat semua aktiviti tidak bergerak dan perniagaan ditutup.

“Mereka yang paling terjejas adalah peniaga-peniaga kecil yang terpaksa menutup perniagaan dan seterusnya menyebabkan ramai pekerja hilang pekerjaan selepas mereka diberhentikan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mendapati ramai daripada penduduk di negara ini yang tinggal di flat atau pangsapuri yang terpaksa bersesak dalam rumah yang sempit kerana mempunyai bilangan keluarga yang terlalu ramai.

“Bayangkan mereka yang duduk di rumah pangsa tersebut dengan anak yang ramai dan terpaksa tinggal berulan-bulan,” katanya.

Ismail berkata pelaksanaan PKP kali ketiga bermula esok adalah dibuat berdasarkan situasi dan perkembangan semasa kes penularan COVID-19 di negara ini

Ismail Sabri berkata sehubungan itu, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan juga berbeza dengan PKP kali pertama dan kedua.

Beliau berkata, SOP ditetapkan berdasarkan situasi semasa memang berbeza dengan SOP dilaksanakan tiga bulan lalu, malah berlainan dengan SOP pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kerajaan serius menjalankan PKP dan keputusan diambil berdasarkan pelbagai peringkat penilaian, bukannya diumumkan begitu saja,” katanya.

Menyentuh mengenai SOP kali ini, Ismail Sabri berkata, semua butiran terperinci mengenai SOP-SOP tersebut boleh diperolehi di laman web kementerian-kementerian berkaitan yang menyenaraikan perkara yang boleh dan dilarang dilakukan oleh rakyat.