PKP bukan tindakan zalim tetapi demi lindungi nyawa rakyat – PM

Dari Penulis


ANCAMAN varian baru Covid-19 yang begitu cepat merebak menyebabkan negara kini berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan bagi mengelakkan kita terjerumus ke dalam suatu malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang parah.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan keadaan itulah, beliau mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

‘’Kita kuat kuasakan semula larangan rentas daerah dan rentas negeri di samping larangan terhadap aktiviti sosial, pendidikan dan sukan kecuali sukan individu di kawasan terbuka. Ziarah hari raya juga tidak dibenarkan. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan tetapi dengan jumlah kehadiran jemaah yang terhad.

‘’Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah Kerajaan ini?

‘’Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, mana lah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif COVID-19. Ini kerana ramai pesakit COVID-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Aidil Fitri malam ini.

Muhyiddin menegaskan, walaupun keputusan adalah sukar, tidak popular dan tidak memuaskan hati rakyat namun ia terpaksa dibuat.

”Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian. Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah SWT,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mengatakan dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, ia memberi seratus peratus jaminan bahawa angka-angka COVID-19 di negara kita tidak akan meningkat.

‘’ Tidak. Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ia bergantung kepada disiplin kendiri kita masing-masing. Sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini,’’ katanya.

Beliau menegaskan, Covid-19 akan menjadi lemah jika kita dapat putuskan rantaiannya.

‘’Bagaimana nak putuskan rantaian? Elakkan berada di tempat yang sesak. Elakkan perkumpulan ramai. Jaga jarak fizikal anda dengan orang lain. Jangan duduk dekat-dekat. Sentiasa pakai pelitup muka. Sentiasa bersihkan tangan. Sentiasa jaga kebersihan diri. Jika tiada urusan penting di luar rumah, duduk sajalah di rumah. Stay at home.

‘’Jika saudara dan saudari amalkan perkara-perkara yang mudah ini, rantaian jangkitan Covid-19 akan terputus, virus ini akan menjadi semakin lemah dan insya-Allah akan dapat ditewaskan akhirnya,’’ katanya

Beliau merayu kepada rakyat untuk meningkatkan disiplin diri dengan mematuhi SOP pada setiap masa dan dududlah di rumah.

‘’Tak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting. Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri.

‘’Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini,’’ katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This