POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan dan pegawai rendah yang terbabit dalam sebarang penyelewengan, salah laku serta salah guna kuasa, kata Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya.
Sehubungan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman melakukan siasatan berhubung aduan salah laku serta salah guna kuasa membabitkan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Fisol Salleh.
Zamri berkata, siasatan itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa aduan berhubung perkara itu.
“JIPS sudah memulakan siasatan ke atas semua aduan yang diterima secara menyeluruh dan telus.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan yang menjurus kepada wujudnya apa-apa salah laku dan salah guna kuasa pegawai kanan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BERITA BERKAITAN Tolak mereka yang rasuah, salah guna kuasa – Sultan Nazrin
Terdahulu, media melaporkan pihak polis yakin dapat menjejaki individu yang menggunakan akaun Facebook palsu untuk memfitnah Fisol dengan mendakwa beliau melindungi sindiket kongsi gelap di negeri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket dipetik berkata, polis akan menjejak suspek dengan pelbagai kaedah termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) walaupun suspek menggunakan nama samaran serta akaun palsu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

