Ramadan baru sahaja berlalu meninggalkan kita dan kedatangan Syawal pada tahun ini disambut dengan penuh kesederhaan. Selain meraikan kemenangan, umat Islam digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menyempurnakan puasa enam.

Penjelasan lengkap pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun ini diharap dapat merungkai persoalan mengapa dan bagaimana untuk melaksanakan puasa enam.

“BENARKAH PUASA 6 HARI DI BULAN SYAWAL UMPAMA BERPUASA SELAMA SETAHUN?

Sahabat sekalian, mari kita kira sama-sama.

• 1 hari berpuasa = 10 ganjaran pahala

• 30 hari berpuasa Ramadan x 10 ganjaran pahala = 300 hari

• 6 hari berpuasa Syawal x 10 ganjaran pahala = 60 hari

• MAKA, 300 hari + 60 hari = 360 hari

• 1 tahun = 365 hari

Tetapi, mengapa 1 hari berpuasa = 10 ganjaran pahala?

Jika kita telusuri firman Allah SWT bahawa setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang, maka dia akan mendapat 10 ganjaran pahala.

Allah SWT berfirman:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”

(Surah al-An’am: 160)

Subhanallah. Sayang sungguh Allah SWT kepada kita.

Maka, benarlah sepertimana dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa seseorang akan mendapat pahala seolah-olah berpuasa selama setahun apabila dia meneruskan puasa enam hari pada bulan Syawal setelah berpuasa di bulan Ramadan.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa selama setahun.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Mazhab Syafie menyatakan bahawa puasa enam merupakan ibadah sunat sepanjang Syawal tidak kira sama ada dilakukan secara berturut-turut atau berpisah.

Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

Maksudnya: “Ulama Mazhab Syafie menyatakan: Yang paling afdal (lebih baik) dalam melaksanakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidil Fitri.

Jika tidak berturut-turut, (misalnya sehari berpuasa dan dua hari kemudian tidak berpuasa, kemudian sambung berpuasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya hingga ke hujung bulan, maka itu juga turut mendapat kelebihan al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di bulan Syawal.”

ANTARA KELEBIHAN PUASA 6 HARI DI BULAN SYAWAL

1. Menyempurnakan kekurangan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Hal ini kerana amalan sunat melengkapkan amalan fardu, sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik, maka dia akan beruntung dan selamat, jika solatnya rosak, maka dia akan rugi dan tidak beruntung. Jika amalan fardunya ada yang kurang, maka Rabb ‘Azza wa Jalla berfirman, “Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai ibadah sunnah yang boleh menyempurnakan ibadah wajibnya yang kurang?” Lalu setiap amal akan diperlakukan seperti itu.”

(HR Tirmizi, hadis hasan)

2. Allah SWT juga menyediakan satu pintu syurga khas iaitu pintu al-Rayyan bagi mereka yang melazimi ibadah puasa.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَدْخُلُونَ مِنْهُ، فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ، أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga nanti ada pintu dinamakan al-Rayyan, yang akan dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari kiamat kelak. Tiada siapa yang memasuki pintu tersebut selain mereka. Dikatakan: Di mana orang-orang berpuasa? Maka mereka memasukinya. Apabila orang terakhir memasukinya, maka pintu itu ditutup dan tiada siapa lagi dapat memasukinya.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

NIAT PUASA ENAM

• Niat Puasa Enam Sahaja

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”

• Niat Puasa Qada (Ganti) dan Puasa Enam Syawal

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً وَصَوْمَ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa ganti Ramadan yang wajib ke atas diriku beserta puasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”

Sahabat,

Dalam kesempatan bulan Syawal yang mulia ini, mari kita berlumba-lumba melaksanakan ibadah puasa sunat 6 Syawal sepertimana yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW.

ANTARA TARIKH CADANGAN PUASA ENAM:

1. 20 Mei 2021 bersamaan 8 Syawal (Khamis)

2. 24 Mei 2021 bersamaan 12 Syawal (Isnin)

3. 25 Mei 2021 bersamaan 13 Syawal (Hari Putih)

4. 26 Mei 2021 bersamaan 14 Syawal (Hari Putih)

5. 27 Mei 2021 bersamaan 15 Syawal (Hari Putih + Khamis)

6. 31 Mei 2021 bersamaan 19 Syawal (Isnin)

Berhimpunnya tiga fadilat (kelebihan) pada tarikh-tarikh tersebut, iaitu:

1. Puasa 6 syawal

2. Puasa Isnin Khamis

3. Puasa Hari Putih

Walau bagaimanapun, puasa enam boleh dilaksanakan pada bila-bila masa di bulan Syawal melainkan 1 Syawal, dan tarikh-tarikh ini hanya sekadar cadangan sahaja.

Mudah-mudahan kita berjaya memperoleh ganjaran kebaikan daripada amalan ini.

Semoga bermanfaat buat semua.

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.

ASMA’ BINTI HARUN

#UAHSahabatDuniaAkhirat

Sumber : Ustazah Asma’ Harun