HOPE DIAMOND – Berlian yang membawa sumpahan nasib malang pada pemiliknya. Kisah di sebalik rantai berlian dalam filem Titanic

Dari Penulis

Masih ingat dengan kalung berlian biru yang dipakai Rose dalam filem Titanic? Kalung yang diberi jolokan ‘The heart of the Ocean’ akhirnya dicampakkan ke dalam laut pada penghujung filem itu.

Kalung itu sebenarnya diinspirasikan daripada perhiasan sebenar yang dinamakan Hope Diamond, kini dipamerkan di muzium di Washington, Amerika Syarikat.

Kalung berlian biru yang dipakai Rose dalam filem Titanic diinspirasikan dari Hope Diamond.

Berlian biru tua pada kalung itu menjadi salah satu bahan pameran yang paling popular. Warnanya yang bening kebiruan, malah boleh bertukar menjadi merah apabila disinari dengan pancaran ultraviolet membuat semua mata terpana, seakan mahu memilikinya.

Berlian itu adalah antara batu bermutu yang sangat tinggi nilainya sejak ratusan tahun dahulu. Tetapi, rantai berlian ‘Hope Diamond’ ini terkenal dengan kisah sumpahannya dan dikaitkan dengan pelbagai kutukan.

Hope Diamond, berlian yang dikatakan telah disumpah dan membawa nasib malang. Berlian ini menjadi inspirasi pada kalung dalam filem Titanic.

Ada yang menyebut batu berlian ini asalnya dicuri dari sebuah patung suci agama Hindu di India. Akibatnya, pencuri itu dikatakan mati setelah diserang oleh anjing liar. Betul atau tidak, tidak jelas kesahihannya.

Namun, daripada kisah yang dicatitkan, pada tahun 1642, seorang pedagang permata Perancis bernama Jean Baptiste Tavernier yang mengembara ke India telah membeli sebutir berlian di wilayah Kollur.

Jean Baptiste Tavernier.

Berlian biru itu seberat lebih 112 karat dan merupakan berlian terbesar ditemui ketika itu.

Namun, ada kisah lain mengatakan Tavernier sebenarnya mencuri batu berlian itu yang merupakan satu mata pada sebuah patung dewa di sebuah kuil di India. Dikatakan penjaga kuil itu memberitahu, sesiapa yang memiliki batu tersebut, hidupnya tidak akan tenang.

Tahun 1668, Tavernier kembali semula ke Perancis lalu berlian itu dijual kepada pemerintah Perancis, King Louis XIV. Raja itu memotong berlian itu untuk mencantikkannya menjadikan beratnya lebih kurang 67 karat lalu menamakannya sebagai ‘Blue Diamond of the Crown’.

Tidak lama kemudian, King Louis XIV menemui ajal kerana penyakit gangrene. Begitu juga ahli keluarganya, seorang demi seorang mati kecuali seorang anaknya.

King Louis XIV membentuk berlian itu dan dinamakan Blue Diamond of the Crown.

Sebelum itu, Nicols Fouquet yang merupakan teman baik King Louis XIV dan sering memakai perhiasan berlian ini telah dikenakan hukuman penjara 15 tahun apabila raja tidak lagi menyukainya.

Berlian itu kemudian turun pula ke tangan cucunya, yang menjadikannya sebagai salah satu perhiasan pakaian diraja. Kemudian, naik takhta pula King Louis XVI bersama isteri Marie Antoinette sebagai permaisuri sekali gus pewaris berlian biru itu.

Musibah mula menimpa keluarga diraja itu apabila revolusi Perancis tercetus pada 1789. Institusi raja digulingkan. King Louis XVI dan isterinya telah dipenggal kepala. Kesemua harta perhiasan raja termasuk berlian biru itu telah dirampas dan disimpan di Garde-Meuble. Sayangnya, ia telah dicuri kerana tiada kawalan rapi.

Puteri Maire-Louise, salah seorang teman rapat Marie Antoinette juga sering memakai rantai ini. Beliau juga menerima nasib malang, dibunuh oleh perusuh dan kepalanya ditetak dengan tukul.

Berlian biru hilang begitu saja hinggalah ia dikatakan muncul semula di London pada 1823. Pemilik barunya ialah Daniel Eliason, seorang pembuat barangan kemas. Walaupun potongan berlian itu tidak sama seperti asal, ramai percaya itu adalah berlian biru yang hilang sebelum ini dan telah diubahsuai bagi mengaburi kebenarannya.

Daniel dikatakan membunuh diri, tidak lama selepas menjual berlian itu kepada King George IV dari England.

King George IV yang memakai perhiasan berlian biru tersebut di bahagian lehernya.

Berbeza pula untuk King George IV, raja ini mempunyai banyak hutang sehingga terpaksa menjual berlian ini bagi menyesaikan segala hutang piutangnya.

Berlian ini kemudian sering bertukar tangan. Seorang pengukir barangan kemas, Wilhelm Fals yang pernah membentuk berlian ini juga menerima padah apabila mati dibunuh anaknya, sebelum anaknya itu membunuh diri sendiri.

Simon Maoncharides pula antara yang pernah menjadi tuan permata mahal ini. Sumpahannya? Dia bersama isteri dan anaknya terbunuh apabila kereta yang dipandunya jatuh ke dalam jurang.

Ada banyak lagi kematian atau tragedi yang dikaitkan dengan pemilik berlian ini. Sehinggalah akhirnya ia dibeli oleh seorang hartawan, Henry Phillip Hope pada tahun 1839 lalu dinamakan sebagai ‘Hope Diamond’, bagi membawa nama keluarganya. Pada tahun yang sama, Henry meninggal dunia dan berlian itu diwariskan kepada ahli keluarganya sehinggalah kepada cicitnya, Francis Thomas Hope.

Henry Philip Hope yang membeli berlian ini lalu dinamakan sebagai ‘Hope Diamond’. Nama berlian itu kekal hingga ke hari ini.

Perkahwinan Francis Thomas Hope tidak bahagia. Isterinya lari meninggalkannya selepas menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain. Sikap Francis yang suka berfoya menyebabkan perniagaannya bankrup. Dia akhirnya menjual berlian itu bagi menyelesaikan hutang. Namun nasib malangnya berterusan apabila Francis hilang kaki semasa memburu dan mati dalam kemiskinan.

Berlian itu dibeli oleh Adolph Weil pada 1901, dan dia menjualnya kepada Solomon Habib, seorang pedagang dari Turki. Rantai berlian ini kemudian dibeli oleh Putera Ivan Kanitowsky untuk dihadiahkan kepada kekasihnya, Lorens Ladue.

Lorens yang memakai rantai berlian itu ketika membuat persembahan telah ditembak oleh seorang penonton. Tidak lama kemudian, Puteri Ivan yang berada di Paris dibunuh oleh pihak revolusi Rusia.

Dari seorang pembeli kepada pembeli baru, akhirnya Hope Diamond sampai ke Amerika Syarikat. Rantai berlian itu dibeli oleh Phillipe Cartier, seorang saudagar permata yang mempunyai firma di London, New York dan Paris.

Ia dibentuk semula menjadi seutas rantai mewah lalu dibeli oleh seorang wanita kaya, Evalyn Walsh McLean.

Walaupun mendengar kisah kutukan Hope Diamond, Evalyn tidak percaya dan berpendapat apa saja barangan kemas yang sampai ke tangannya boleh bertukar menjadi sesuatu yang bertuah buat dirinya.

Evalyn bergambar dengan memakai kalung Hope Diamond.

Berlian itu sentiasa dipakai oleh Evalyn sehingga doktor peribadinya terpaksa memujuknya berulang kali bagi menanggalkan perhiasan berlian itu semasa hendak menjalani satu pembedahan.

Walaupun mengharapkan Hope Diamond membawa tuah, tapi tidak begitu yang kelihatan. Satu persatu musibah menimpa keluarga Evalyn sejak memiliki berlian itu. Ibu mertuanya meninggal dunia dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun mati dilanggar kereta. Lebih malang, suaminya pula meninggalkannya untuk bersama wanita lain. Anak perempuannya pula mati kerana ketagihan dadah pada usia 25 tahun.

Perniagaan Evalyn turut terjejas teruk. Setelah kematian Evelyn, warisnya terpaksa menjual Hope Diamond bagi melangsaikan hutang piutangnya.

Rantai berlian itu dijual kepada tukang perhiasan ternama dari New York, Harry Winston pada tahun 1949.  Berlian ini sering dipamerkan dalam pelbagai pertunjukan.

Pada September 1958, Harry mendermakan berlian itu kepada Institut Smithsonian untuk dijadikan salah satu bahan pameran dalam rangkaian muzium di Washington.

Berlian Hope Diamond ini didermakan kepada Institut Smithsonian untuk dijadikan bahan pameran muzium.

Walaupun tujuan Harry dikatakan untuk menggalakkan ramai orang mendermakan barangan untuk pameran muzium, tapi ramai yang lebih percaya  kononnya dia gusar jika kutukan Hope Diamond akan memberi kesan dalam hidupnya kelak.

James Todd yang ditugaskan menghantar kotak berisi berlian Hope Diamond ke institut tersebut ketika itu turut cedera apabila dilanggar lori. Musibahnya berlanjutan apabila dia sekeluarga terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa isteri dan anaknya. Tak lama kemudian, rumahnya pula terbakar dan akhirnya James mati kerana sakit jantung.

Sekalipun dikaitkan dengan pelbagai nasib buruk yang menimpa pemilik atau pemakainya, namun Hope Diamond yang dikenali sebagai berlian yang disumpah ini masih menjadi antara 10 berlian ternama dan termahal di dunia.

Ia dianggarkan bernilai 250 Juta US Dollar dan kini sekadar boleh ditatap di sebalik kaca pameran dan dikawal ketat oleh pihak muzium di Washington.

________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This