UJIAN Saringan Covid-19 secara percuma yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor adalah antara faktor menyumbang peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di negeri ini sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejak 8 Mei hingga semalam, hampir 20,000 individu telah menghadiri Ujian Saringan COVID-19 percuma yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, saringan itu dibuat bagi mengesan kes-kes positif bagi mengelak ‘pembawa senyap’ dan memutuskan rantaian perebakan.
“Ini juga adalah antara faktor menyumbang jumlah kes yang tinggi di Selangor.
“Namun usaha ini adalah perlu bagi memastikan individu positif tidak menyebarkan virus tanpa disedari,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Sudah dua hari berturut-turut Selangor mencatatkan lebih 2,000 kes positif Covid-19 sekali gus kekal sebagai negeri utama menyumbang kepada jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara.

Hantaran itu turut berkongsikan infografik keputusan saringan bersasar Covid-19 bagi daerah Hulu Langat dan Gombak yang dibuat pada 8 hingga 20 Mei.
Berdasarkan maklumat diberi,sebanyak 19,858 individu dari 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengambil bahagian dalam Ujian Saringan Covid-19 secara percuma itu.
Hasilnya, sebanyak 1,171 individu didapati berkemungkinan positif Covid-19.
DUN Rawang menyaksikan penglibatan penduduk paling ramai apabila sebanyak 2,098 penduduk mengambil bahagian diikuti DUN Gombak Setia (2,027) dan paling sedikit DUN Lembah Jaya (580).
Amirudin sebelum ini berkata, Kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem pengawasan melalui konsep pengesanan kes aktif Covid-19 di semua 56 DUN seluruh Selangor.
Ujian saringan itu dilaksanakan di seluruh negeri bermula 8 Mei 2021 sehingga 10 Jun 2021 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.

