PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan yang didakwa menentang kerajaan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Miin bagaimanapun berkata, kebajikan rakyat di dua kawasan berkenaan tidak terjejas dan dipelihara kerana semua bantuan masih lagi disalurkan.
“Sekatan akses portal MyKhas itu bukan satu bentuk penganiayaan, sebaliknya adalah akibat langsung daripada pilihan politik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dua Ahli Parlimen tersebut adalah dari kawasan Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Sebelum ini, Wong Cheng mendakwa pejabatnya dinafikan akses ke portal MyKhas secara tiba-tiba tanpa sebarang notis, sekali gus menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk kawasan Parlimen berkenaan.
Beliau berkata, portal yang dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu merupakan platform penting bagi memuat naik, mengurus dan memproses permohonan berkaitan peruntukan rakyat.
“Gangguan perkhidmatan ini disedari pada jam 12 tengah hari, Rabu lalu ketika pegawai saya cuba memuat naik beberapa permohonan dana PMR untuk sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Subang.
“Selepas menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan, pegawai saya dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses tersebut telah disekat atas arahan pihak atasan di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

