SRIKANDI Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Alwiyah Talib yang memilih untuk meninggalkan parti dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Keputusan tersebut sudah tentu mengecewakan ramai ahli dan penyokong yang selama ini telah bersama-sama berjuang, berkorban masa dan tenaga untuk membina kekuatan parti.
Pemangku Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkembangan ini turut menimbulkan pelbagai persoalan yang wajar dijawab secara terbuka.
“Persoalannya mudah. Adakah keputusan ini dibuat sepenuhnya atas pertimbangan dan keyakinan politik beliau sendiri?
“Adakah terdapat sebarang tawaran, jaminan atau pertimbangan lain yang diberikan kepada beliau, termasuk peluang untuk bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Negeri Johor akan datang?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, jika perkara tersebut tidak benar, maka Menteri Besar Johor wajar tampil memberikan penjelasan bagi menghentikan segala spekulasi yang sedang berlegar dalam kalangan rakyat.
“Jika BN benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri serta sokongan rakyat Johor, mengapa persoalan seperti ini perlu timbul? Rakyat Johor berhak mendapat penjelasan yang jelas.
“Politik yang matang dibina atas prinsip, integriti dan keyakinan terhadap sokongan rakyat. Sebarang perkembangan yang menimbulkan persepsi dan tanda tanya seperti ini hanya akan mengundang lebih banyak persoalan,” katanya.
Nolee Ashilin menegaskan, apa jua cabaran yang mendatang, Srikandi Bersatu akan terus memperkukuhkan gerak kerja bagi memastikan Perikatan Nasional memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri di Johor.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

