HASIL kajian lapangan dilakukan oleh MCA mendapati bahawa rata-rata pengundi Cina kini berada dalam keadaan kecewa khususnya dengan apa yang sedang berlaku di dalam negara.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah merupakan manifestasi kepada kekecewaan tersebut, di mana pengundi Cina membulatkan tekad untuk tidak lagi mengundi parti yang mereka sokong.
“Yang pasti ramai pengundi Cina sudah begitu kecewa. Feed back kita dengar sangat jelas, suaranya sangat jelas. Cuma sama ada mereka akan memilih MCA itu saya tidak boleh mengambil kata-kata itu, kerana perkara boleh berubah.
“Saya tak boleh menganggap kata-kata sokongan mereka akan diterjemahkan dalam undi.
“Tetapi melalui pengalaman saya, rakan-rakan kita dapati semakin banyak kata-kata dorongan, kata-kata semangat (diberikan pengundi Cina) kepada anak-anak muda MCA untuk teruskan perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast BoraKrasi terbitan UtusanTV. Episod penuh podcast boleh dilihat di saluran YouTube UtusanTV.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi Cina dapat bertindak secara objektif dalam pilihan raya kali ini dengan memberikan mandat kepada mereka yang benar-benar layak.
Choo Seong juga merayu agar pengundi Cina tidak menghukum anak-anak muda MCA yang giat bekerja demi membela rakyat dan membuat perubahan hanya disebabkan kekecewaan dengan pemimpin terdahulu.
“Saya tidak mewakili generasi yang lalu, saya mewakili generasi yang akan datang maka berilah peluang kepada kami untuk melakukan yang lebih baik.
“Sekiranya kamu rasa masih nak percaya pada satu pihak atau pun memilih untuk tidak percaya kepada mana-mana pihak maka anda sendiri yang memilih (perkara itu).
“Hakikatnya selepas PRU nanti tetap akan ada wakil rakyat dalam 222 kerusi yang dipertandingkan tetapi wakil rakyat yang bagaimana (terpulang kepada anda),” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

