Bagaimana pandangan Islam tentang pemberian duit raya. Ini penjelasannya

Dari Penulis

Sebut sahaja raya, yang gembira sudah pastinya kanak-kanak. Mana tidaknya, hari raya ibarat bonus tahunan yang diterima tatkala menziarahi sanak saudara mahupun rumah rakan taulan. 

Kelebihan tradisi memberi duit raya di hari raya, sekalipun ia bukan wajib, sememangnya amat dibanggakan kerana ia menyuburkan amalan memberi sebagaimana firman Allah surah al-Munafiqun: 10 

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:

Wahai Tuhan ku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal mati ku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh

Selain dari itu, kelebihan memberi di hari raya turut mampu memberi kegembiraan hati kepada si penerima duit raya malah makin bertambah eratlah hubungan silaturahim di antara sesama umat Islam.

Dengan memberi, ia mampu melapangkan jiwa. Bahkan Allah S.W.T. menjanjikan, semakin banyak seseorang itu memberi, semakin luas pintu rezeki untuknya.  

Namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terutama memahami konsep memberi sama ada ia berupa hadiah atau sedekah?  Bukan itu sahaja, jika bersedekah siapa yang selayaknya menerimanya? Jom kita rungkai persoalan ini. 

Ada beza sedekah dan hadiah

Menurut al-Jurjani, sedekah ialah pemberian yang diberikan kerana mengharap pahala daripada Allah S.W.T. Sementara Ar-Raghib pula berpendapat sedekah ialah harta yang dikeluarkan oleh seseorang dengan niat ibadah, seperti zakat.

Akan tetapi sedekah pada dasarnya disyariatkan untuk sesuatu hal yang sunah sedangkan zakat untuk hal yang diwajibkan.

Berlainan pula pandangan yang diutarakan oleh An-Nawawi yang menyatakan apa yang dinamakan sedekah ialah sesuatu yang membuktikan kejujuran pelakunya dan kebenaran imannya secara lahir batin.

Dengan demikian, sedekah merupakan kejujuran dan kebenaran iman yang bersangkutan.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al- Baqarah, ayat 261,

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) karunia Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan Nya.”

Sementara definisi hadiah pula dikenali sebagai pemberian kerana penghargaan, untuk kenang-kenangan, sebagai penghormatan, dan lain-lain.

Dalam konteks pemberian duit raya, ia juga boleh dianggap sebagai hadiah kerana meraikan kemenangan mereka menamatkan puasa selama sebulan.

Tidak salah jika kita memberikan duit raya sebagai hadiah kepada kanak-kanak sebagai tanda penghargaan atas usaha tersebut.

Apa yang penting ikhlaskan setiap huluran yang diberi. Ada kalanya segelintir daripada kita terlupa untuk diniatkan memberi duit raya itu sebagai satu sedekah atau hadiah kerana terlindung oleh pemikiran bahawa memberi duit raya adalah sebagai meneruskan satu tradisi dan adat budaya Melayu di hari lebaran.

Malah terdapat juga segelintir daripada kita yang risau memikirkan cakap-cakap orang lain.  Begitu juga bimbang akan dianggap kedekut jika tidak memberi duit raya.

Maka, sebaiknya bermula dari hari ini, niatkan setulus hati yang ikhlas mengeluarkan duit raya kepada anak-anak kecil dan saudara mara terdekat malah sesiapa sahaja.

Alangkah bagusnya jika kita dapat membetulkan kembali niat kepada sedekah yang benar-benar ikhlas, dan bukan sekadar ikut-ikutan.

Sekurang-kurangnya inilah yang menjadi bekalan yang boleh dibawa apabila kembali menghadap Allah S.W.T. dan menjamin kita ke syurga Nya yang indah lagi membahagiakan. Wallahu a’lam

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This