Nak beli barang kemas RM422, jururawat rugi lebih RM10,000

Dari Penulis

SUDAH menjadi lumrah bagi golongan wanita meminati barang perhiasan emas untuk dipakai sekali gus menaikkan seri masing-masing.

Bukan itu sahaja, barang kemas juga ketika ini menjadi aset bagi tujuan pelaburan apatah lagi dek kerana nilainya yang tinggi.

Trend pembelian barang kemas secara dalam talian dilihat semakin meningkat selepas negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19.

Namun begitu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan memperdaya pembeli.

Sudahnya, barang kemas tidak berjaya dimiliki, duit pun ‘lesap’ begitu sahaja.

Itu yang berlaku kepada seorang jururawat di Kuantan, Pahang apabila mendakwa kerugian RM10,422 akibat diperdaya dalam urusan pembelian barang kemas secara dalam talian menerusi laman Instagram, Khamis lalu.

Kerugian yang dialami mangsa berusia 33 tahun itu dek kerana seutas gelang tangan yang sepatutnya berharga RM422.

Baca artikel berkaitan: Buku skrip menipu mangsa antara dirampas dari sindiket scam

Sindiket ‘Macau Scam’ menyamar pegawai polis, suri rumah kerugian RM2.08 juta

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa pada mulanya mendakwa berminat untuk membeli gelang tangan berkenaan yang diiklankan di Instagram pada harga RM422.

Walau bagaimanapun, mangsa telah diperdaya untuk membuat pembayaran tambahan sebagai caj pentadbiran dan penghantaran.

Kata beliau, mangsa turut gagal menghubungi suspek selepas melakukan pembayaran tambahan itu.

“Mangsa mendakwa telah menghubungi seorang wanita pada hari yang sama untuk urusan pembayaran sebelum dimaklumkan membuat pembayaran tambahan tersebut.

“Mangsa kemudiannya telah membuat tiga transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek pada Khamis dan Jumaat, namun mendakwa belum menerima gelang tangan itu sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Wazir memaklumkan, mangsa kemudiannya mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Malaysia ucap tahniah kepada parti pemerintah China sempena ulang tahun penubuhan ke-105

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada parti pemerintah China sempena ulang...

More Articles Like This