HARI INI bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim dalam daerah Kuantan, Pahang sehingga 6 Jun depan.
Ia selepas sebanyak 619 individu didapati positif COVID-19 daripada 6,548 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Rabu ini pula, tiga lagi mukim di Pahang, kali ini dalam daerah Lipis akan diletakkan di bawah pelaksanaan PKPD selama dua minggu selepas berlakunya penularan tinggi di kawasan terbabit.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga mukim yang terlibat adalah mukim Kuala Lipis, mukim Penjom dan mukim Budu.
Kata beliau, sehingga kini, mukim Penjom telah mencatatkan 57 kes positif diikuti 51 di mukim Budu dan 24 di mukim Kuala Lipis.
Secara keseluruhannya, kata Ismail Sabri, kes yang dikesan daripada ketiga-tiga mukim itu adalah sebanyak 132 penularan dalam tempoh 24 hari mulai 1 hingga 24 Mei daripada 938 ujian saringan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di tiga mukim tersebut bermula 26 Mei hingga 8 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 619 positif COVID-19, tujuh mukim di Pahang kena PKPD
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di lima sub-zon dalam Wilayah Persekutuan Labuan selama hampir sebulan iaitu mulai Rabu ini sehingga 24 Jun depan.
Katanya, ia susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Labuan dengan kesemua lima sub-zon kini berstatus Jingga dan Merah.
Jelas beliau, KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan bagi Labuan pada 23 Mei adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00 yang berkemungkinan akan berlaku jangkitan dengan skala lebih besar.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lima sub zon dalam Labuan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di kesemua kawasan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

