ISU perkauman atau rasis sememangnya tidak boleh diterima di dalam dunia bola sepak mahupun di muka bumi ini.

Kes itu juga semakin berleluasa dikalangan ahli sukan setelah sekian lama dan ia perlu dibanteras sebaik mungkin.

Terbaharu, bekas bintang Manchester United, Rio Ferdinand menjadi mangsa rasis ini.

Ferdinand telah mendedahkan bahawa dia diejek seperti monyet ketika mengulas perlawanan antara Wolves dengan Manchester United.

Bagaimanapun polis West Midlands kemudian mengesahkan bahawa seorang lelaki telah ditangkap.

Menurut perkongsian Ferdinand di Twitter, dia amat terkejut dengan perbuatan individu tersebut dan menyatakan ia satu kelakuan yang tidak boleh diterima sampai bila-bila.

“Beberapa minggu yang lalu, saya sangat teruja kerana penyokong boleh kembali ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.

“Bagaimanapun, saya kecewa melihat segelintir penyokong Wolves yang melontarkan perbuatan rasis yang menyamakan saya dengan monyet.

“Individu seperti ini perlu diberhentikan daripada hadir ke stadium serta perlu diajar. Datang berjumpa dengan saya & saya akan membantu anda memahami bagaimana rasanya dianiaya secara perkauman!,” tegas Ferdinand.

Polis West Midlands segera bertindak balas terhadap ciapan bekas bintang antarabangsa England itu dengan mengatakan suspek telah ditahan.

“Penyokong itu telah ditangkap dan berada di dalam tahanan. Kami tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan perkauman,” katanya.

Ia kemudian disahkan bahawa individu tersebut adalah lelaki berusia 31 tahun.

Pihak rasmi Wolves kemudian meminta maaf kepada Ferdinand atas kejadian yang tidak dapat diterima itu menerusi akaun Twitter rasmi kelab itu.

“Kami mohon maaf Rio. Individu ini tidak mewakili kelab, penyokong mahupun nilai-nilai kami.

“Kami dapat mengesahkan bahawa individu ini telah ditangkap oleh @WMPolice, yang akan kami bantu untuk memastikan tindakan drastik diambil, termasuk larangan seumur hidup dari kelab kami.”