HASIL kemenangan 2-1 di Angers memastikan mahkota untuk Lille selaku juara Perancis buat kali pertama sejak 2011 pada hari terakhir musim ini.

Lille diangkat sebagai juara dengan mengetepikan cabaran Paris Saint-Germain (PSG) dengan kelebihan satu mata.

Ia merupakan gelaran keempat liga buat Lille dalam era profesional dan yang pertama sejak musim 2010-2011 yang menyaksikan Eden Hazard muncul sebagai Pemain Terbaik musim itu.

Ini juga adalah gelaran pertama pengendali pasukan itu, Christophe Galtier sebagai jurulatih.

83 mata yang dikutip Lille merupakan catatan terbaik dalam sejarah mereka apabila hanya tumpas tiga perlawanan sepanjang musim ini, yang terakhir adalah pada bulan Mac menentang Nimes.

Kemenangan dramatik Lille itu diilhamkan penampilan cemerlang penyerang berusia 35 tahun, Burak Yilmaz, yang meledak 16 gol dalam kempen pertamanya di Perancis.

Pada perlawanan akhir tersebut, Jonathan David memberi jaringan awal dan penalti Burak Yilmaz pada babak pertama memastikan skuad kendalian Christophe Galtier satu mata di depan pasukan tangga kedua, Paris Saint-Germain yang menang 2-0 di Brest.

Angelo Fulgini kembali merapatkan jaringan pada tambahan masa namun tuan rumah tidak mampu menyekat Lille.

Menurut Galtier, kemenangan ini sangat berharga baginya dan pasukan kerana mengatasi kelab yang lebih kaya iaitu PSG, adalah satu perkara memberansangkan.

“Ini menakjubkan. Ia hari yang panjang dan terlalu banyak tekanan. Untuk menewaskan Paris Saint-Germain bagi gelaran liga ialah sesuatu yang menakjubkan.

“Pemain mempamerkan aksi menakjubkan, pujian harus diberikan kepada pemain, mereka adalah wira,” kata Galtier kepada Canal+.

Kali terakhir ‘Les Dogues’ merangkul juara liga adalah pada musim 2010 /2011 dimana PSG menamatkan di kedudukan keempat.