Saudara Pengarang,
Rakyat terlalu mual dan jelik dengan pelbagai polemik politikus yang tidak reti malu dan tiada sikap mahu betul-betul berkhidmat untuk rakyat dalam isu Covid 19. Asyik dengan hujah-hujah berkaitan kelemahan kerajaan sedia ada.
Apa inisiatif yang dibuat oleh semua Yang Berhormat di kawasan masing-masing ?
Seharusnya, mereka turun padang, ambil usaha sehabis-habisnya dan buat program-program yang serius dan sistematik dalam membersihkan kawasan masing-masing.
Mana pemimpin dan ahli politik semua parti yang selama ini banyak berkokok sahaja menandakan hari sudah siang dengan irama lagu ‘pilihan raya’?
Usaha pembersihan perlu dibuat dengan rasa tanggungjawab, contohnya sokongan logistik  kepada agensi kerajaan sedia ada dengan keaggotaannya dari jentera setiap parti politik. Barulah sampai maksud berkhidmat untuk negara.Â
Inilah dinamakan roh darurat. Ketika ini, tidak banyak tindakan proaktif daripada Yang Berhormat dan pemimpin-pemimpin tempatan seperti penghulu, ketua kampung, tokoh agama, ketua jabatan selain dari barisan hadapan. Cakap sahaja, kemudian beri perbagai alasan.
Pemimpin tempatan perlu membuat pasukan untuk pemeriksaan rambang dan berkala di kawasan masing-masing yang sering menjadi tumpuan awam dan jangan semata-mata serah kepada petugas RELA.
Inilah sepatutnya antara inti pati darurat. Bukannya dengan asyik-asyik memekik hendakkan Parlimen bersidang semula. Ini akan memulakan semula, perebutan kuasa di dalam Dewan Rakyat tanpa memikirkan kesusahan rakyat di bawah.
Semua rakyat perlu meningkatkan usaha kesukarelawanan dan pengorbanan. Tidak perlu angkat senjata pun. Jadikan ini satu perjuangan rakyat. Bukannya dengan membuat sepanduk, kutuk kerajaan dan kutuk pemimpin melalui media sosial.
Perlu perbanyakkan sanitizer dan springkler. Jangan bergantung penuh kepada mesin pemeriksa suhu badan. Wajibkan penggunaan springkler di semua premis-premis yang terdedah termasuk masjid dan surau.
Semua Yang Berhormat dan pemimpin mukim, daerah dan kampung bertanggungjawab ke atas program ini. Inilah istiqamah dan harga diri Yang Berhormat dan pemimpin setiap peringkat semasa darurat ini.
Kerajaan-kerajaan jangan ambil sikap asyik tunggu dan lihat, Apa kerajaan persekutuan akan buat? Menteri Besar negeri-negeri mempunyai ramai Exco. Apa yang mereka buat?
Rata-rata mereka tidak rasa kepayahan rakyat seperti warga emas mengharungi darurat sebelum ini. Kerajaan negeri wajar menggunakan dana kewangan negeri, untuk membantu rakyat di kampung-kampung.
Yang Berhormat dan pemimpin masyarakat perlu menghulurkan bantuan kepada guru-guru yang membuat pemeriksaan suhu badan/sanitize setiap murid pada setiap pagi, apabila sekolah dibuka semula.
Barulah murid-murid dapat hadir ke sekolah dengan selamat. Tanggungjawab ini kelihatan diserahkan kepada guru semata-mata.
Inilah pandangan ikhlas daripada saya yang pernah mengharungi darurat pertama, kedua dan ketiga.
Polis Bersara, Kuala Lumpur

