Ustaz Ebit Lew akan melaksanakan misi bantuan kepada rakyat Palestin bermula 25 hingga 30 Mei ini. Foto FACEBOOK Ebit Lew

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL) malam ini memohon doa rakyat Malaysia akan kejayaan usahanya melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. 

Menerusi hantaran Facebook pendakwah itu, beliau turut berdoa semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya. 

“Ya Allah bantulah kami dan hanya kepadaMu kami berserah,” tulis beliau malam ini.

UEL pada masa sama merakamkan ucapan terima kasih beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra kerana menyokong dan membantu mempermudahkan misi kemanusiaan itu.

Ujarnya, semoga setiap usaha rakyat Malaysia demi rakyat Palestin dirahmati Allah SWT. 

“Terima kasih DYAM Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memberi semangat dan doa. Terima kasih dan penghargaan juga kepada YAB Perdana Menteri Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang turut memberi sokongan misi kemanusiaan ini demi rakyat Palestin.

“Terima kasih Turkish Airlines sponsor tiket. Semoga menjadi asbab kebaikan,” tambahnya.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan media, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, UEL mengadakan misi bantuan kemanusiaan untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel di Gaza.

Menurutnya, pendakwah terbabit akan ke Mesir untuk misi berkenaan bermula 25 hingga 30 Mei.

Katanya, misi itu telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia.

“Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya.

Kamaruddin dalam pada itu menjelaskan, biarpun misi ini merupakan inisiatif delegasi Ebit Lew sendiri, namun pihaknya menasihatkan delegasi itu sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra.

“Saya telah menasihati delegasi Ustaz Ebit Lew agar sentiasa berhubung, bekerjasama rapat dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi.

“Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” tambahnya.