PENINGKATAN angka kes Covid-19 dalam negara bukan sahaja memberikan perasaan bimbang kepada masyarakat bahkan ia turut dirasai oleh pelakon dan penyanyi, Azza Elite.

Melihatkan jumlah mangsa yang positif Covid-19 semakin bertambah setiap hari, Azza atau nama penuhnya Noor Azzarima Zawari tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata kerana terlalu bimbangkan situasi semasa negara.

Sambil mengalirkan air mata, Azza memohon pihak kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Hari ini adalah hari yang menakutkan…dada berdebar bila di media sosial.

“Saya minta maaf dekat semua sebab saya ada ‘anxiety’ (kerisauan melampau) yang sangat teruk. Macam-macam berlaku dekat sekeliling.

“Ya Allah saya sangat takut…risau mak dengan anak dekat kampung…kami terpisah.

“Selagi kerajaan tak ‘lock down’, kami ada yang kena pergi kerja…tolonglah.

“Kalau kerajaan ‘lock down’ sekurang-kurangnya kami duduk di rumah, tak jumpa orang dua atau tiga minggu…tak lama pun,” luahnya.

Tambah Azza lagi, tindakan kerajaan yang pernah mengumumkan ‘lockdown’ ketika fasa PKP 1.0 tahun lepas, telah berjaya menurunkan angka jangkitan Covid-19.

Justeru, dia meminta agar langkah yang sama dilakukan pada kali ini bagi sama-sama membantu mengurangi jumlah kes pandemik.

“Dulu kan kita pernah buat dan kes turun kepada O terus. Alhamdulillah, tolong kerajaan…marilah cuba cara PKP 1.0…kita berjaya masa itu.

“Saya bersuara untuk semua yang mohon untuk ‘lockdown’. Kami ada yang terpaksa pergi kerja kalau kerajaan tak buat ‘lockdown’.

“Kami orang bawaha ini jaga semua prosedur operasi standard (SOP), kami sanggup ikat perut untuk kurangkan kes.

“Tolonglah kesiankan petugas barisan hadapan (frontliners). Mereka pun ada keluarga. Saya dan jutaan rakyat Malaysia bersama mereka (frontliners).