PELAKON Abby Abadi tidak menafikan pernah menjalani pembedahan bariatrik pada 2019 disebabkan mengalami berat badan berlebihan.
Bagaimanapun, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan,46, mengaku prosedur terbabit tidak berhasil disebabkan kekurangan ilmu selain tidak menjaga pola pemakanan dengan betul.
“Ketika itu mungkin saya kurang kefahaman mengenai bariatrik. Saya ingatkan selepas buat pembedahan akan terus jadi betul-betul kurus.
“Bila buat prosedur tu, saya jalani hidup seperti biasa. Ya, berat badan saya turun sekitar tujuh hingga ke lapan kilogram pada peringkat awal…ketika itu berat badan saya 80 kilogram (KG).
“Tapi ia terhenti setakat itu saja sebab saya tak jaga makan. Rupanya, saya kena jadi ‘orang lain’ bila buat bariatrik. Saya kena konsisten bersenam, jaga pemakanan dan sebagainya,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran Berryfull Honey Lemon di ibu negara, baru-baru ini.

Kesedaran ingin menurunkan berat badan mula membuak-buak selepas menyedari faktor penambahan usia akan membuatkan metabolisma menjadi rendah sekaligus lebih sukar mendapatkan berat badan ideal.
Justeru, hasil usaha selama tiga bulan pada tahun ini, Abby berjaya menurunkan berat badan sehingga 15KG.
“Dalam tempoh empat tahun sebelum ini, berat badan saya kekal 80kg. Saya tak pernah kurus macam sekarang lebih-lebih lagi selepas saya tinggalkan dunia lakonan untuk sementara sebab waktu badan saya ‘gemuk-gemuk manja’.
“Maknanya, saya pernah ‘potong’ tapi sekarang ni saya diet dan amalkan gaya hidup sihat. Saya juga elakkan makan makanan manis yang menjadi punca berat badan naik.
“Senang cakap, kalau tak jaga pemakanan, memang tak akan menjadikah (kurus). Kalau sesiapa di luar sana yang buat bariatrik, mereka juga kena jadi seperti ‘orang lain’,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Qistina Latifi berkata, pemilihan Abby yang sinonim dengan watak Inspektor Aleza dalam siri kepolisan Gerak Khas itu dilihat bertepatan dengan syarat yang diberikan.
Malah, pihak mereka turut memberikan cabaran kepada Abby untuk menurunkan berat badan dalam masa tiga bulan sebelum dilantik menjadi wajah Berryfull perisa Honey Lemon.
“Abby sudi menyahut cabaran yang diberikan iaitu wajib kurus dalam masa tiga bulan. Masa pihak kami hubungi Abby, berat badannya mencecah 75KG dan dia sahut cabaran untuk turunkan berat badan sehingga 59KG pada Ogos yang lalu.
“Kemudian, barulah pihak kami bersetuju melantik Abby sebagai ‘face off’ Berryfull Honey Lemon.
“Abby adalah testimoni sebenar produk kami sebab sepanjang tiga bulan dia menurunkan berat badan, kami meminta dia mencuba terlebih dahulu produk tersebut,” katanya.
Kata Dini, kiriman video daripada pelakon Fasha Sandha yang memaparkan Abby dan Azza Elite berkongsi pengalaman pernah membeli Berryfull menjadi detik perkenalan awal mereka mula bekerjasama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

