Digelar ‘Titanic Afrika’. Karamnya MV LE JOOLA, tragedi kapal penumpang kedua terburuk dalam sejarah

Dari Penulis

Pada 26 September 2002, sebuah feri yang padat dengan penumpang telah karam di Senegal. Tragedi tenggelamnya feri MV Le Joola ini bukanlah kejadian terkenal jika dibandingkan dengan tragedi karam kapal mewah, Titanic pada tahun 1912.

Meskipun tidak menjadi berita hangat yang mendapat perhatian dunia ketika itu, tragedi buruk ini masih tersemat di hati setiap anggota keluarga mangsa. Peristiwa hitam itu telah mengorbankan seramai 1,863 orang mangsa sehingga tragedi itu mendapat jolokan ‘Africa’s Titanic’.

Bagi ahli keluarga mangsa yang terkorban, kejadian itu tidak akan dilupakan biarpun sudah hampir dua dekad berlalu.

Salah seorang anggota keluarga mangsa yang dikenali sebagai Idrissa Diallo memberitahu, tragedi feri karam tersebut telah mengorbankan tiga orang anak lelakinya sekaligus.

Feri MV Le Joola

Mengimbas kembali peristiwa hitam , Diallo memberitahu ketika itu dia berada di luar negara bagi melawat ahli keluarganya di Amerika Syarikat. Ketika disana, beliau telah menerima panggilan kecemasan yang memberitahu ketiga orang anak lelakinya telah terkorban akibat kejadian feri karam.

Menurutnya, ketika kejadian tiga orang anaknya berusia lapan, 13 dan 15 tahun sedang dalam perjalanan pulang selepas melawat rumah nenek mereka di Casamance (wilayah yang terletak di selatan negara Senegal).

Walaupun pasrah dengan peristiwa yang meragut anak-anaknya itu, Diallo berasa tidak puas hati dengan pihak syarikat pengurusan yang mengendalikan feri berkenaan. Wanita ini  meluahkan rasa terkilan kerana pihak syarikat pengurusan tidak mementingkan aspek keselamatan ketika mengendalikan feri itu.

Bayangkan sewaktu kejadian berlaku, feri tersebut dilaporkan membawa penumpang berlebihan berbanding jumlah asal iaitu terhad kepada 580 orang pada satu-satu masa.    

Selain itu, rasa ketidakpuasan hati Diallo semakin memuncak apabila jasad tiga orang anak lelakinya tidak pernah dijumpai. Dia turut mempersoalkan tentang tindakan pihak berkuasa yang sehingga hari ini masih membisu mengenai kejadian berkenaan.

Antara foto sebahagian mangsa penumpang feri MV Jee Loola.

Bangkai feri MV Le Joola masih tidak dialihkan dan tenggelam di dasar laut sehingga hari ini. Menurut Menteri Alam Sekitar Senegal, feri MV Le Joola masih ditempat kejadian sehingga hari ini. Misi pencarian terpaksa ditangguhkan berikutan pihak kerajaan tidak mempunyai peralatan sesuai untuk mengangkut feri malang itu yang karam dan pada kedalaman 18 meter di kedudukan 20 kilometer dari pantai Gambia. 

Ketua Jawatankuasa Pembentukan Memorial Mangsa Joola, Nassardine Aidara, pernah membuat dakwaan bahawa pihak kerajaan sebenarnya mendapat peluang untuk menaikkan feri tersebut pada tahun 2005. Ia berikutan insiden itu telah mendapat perhatian dari Kesatuan Eropah (EU).

Dipercayai, badan dunia itu telah menawarkan sejumlah dana pada Senegal bagi menyelesaikan operasi pencarian mangsa. Malangnya, hasrat yang dikemukakan EU ditolak oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain operasi pencarian tertangguh, pihak kerajaan turut didakwa tidak bersungguh-sungguh untuk membela nasib mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

Nassarine Aidara di samping foto ahli keluarganya yang terkorban.

Dalam kejadian itu, Nassardine Aidara turut kehilangan empat orang anak kandung dan anak saudaranya. Sama seperti kes Diolla, jasad empat ahli keluarganya itu tidak ditemui.

Beliau masih ingat lagi sebelum kejadian, anaknya bersama tiga orang sepupu bersungguh-sungguh mahu menaiki feri tersebut sebaik mereka sekeluarga pulang bercuti di Ziguinchor.

Tanpa berfikir panjang, beliau membenarkan keempat mereka pulang dengan menaiki feri manakala dia dan ahli keluarganya lain iaitu isteri dan ibunya pulang melalui jalan darat.

Beberapa jam sebelum feri berlepas, Aidara sempat berbual dengan anak-anaknya. Dia masih ingat lagi kata-kata terakhir mereka berempat yang mengucapkan terima kasih kerana membenarkan pulang menaiki feri.

Pada pukul 7.00 pagi 26 September 2002, Aidara tiba di pelabuhan di Dakar untuk mengambil anak-anaknya. Dia menunggu sehingga pukul 8.00 pagi tetapi feri yang dinaiki anak-anaknya tidak muncul. Dia terus menunggu lagi sehingga dua jam namun, tiada sebarang kelibat feri muncul di pelabuhan Dakar.

Aidara terpaksa bergegas ke pejabat. Setibanya di tempat kerja, dia mendapat berita mengejutkan. Feri yang dinaiki empat orang anaknya itu telah karam.

Menurut kronologi, pada 26 September 2002, feri MV Le Joola melakukan pelayaran dari Ziguinchor, Casamance menuju ke perhentian seterusnya di Dakar. Feri tersebut telah membawa muatan berlebihan seramai lebih kurang 2,000 orang penumpang.

Pusat Kawalan Maritim Dakar telah menerima panggilan terakhir daripada kapten feri pada pukul 10.00 malam waktu tempatan. Panggilan itu melaporkan perjalanan feri berkenaan dalam keadaan baik. 

Sejam kemudian iaitu pukul 11.00 malam, feri tersebut dipercayai mengalami situasi kecemasan sewaktu melintasi 20 kilometer dari pantai Gambia. Selepas itu, tidak ada sebarang isyarat dikeluarkan. Pusat kawalan cuba menghubungi feri itu, namun tidak sebarang respon.

Apa yang menjadi tanya, operasi pencarian dan menyelamat tidak dijalankan pada hari yang sama. Sebaliknya, ia dilakukan pada hari kedua kejadian. Bagaimanapun, usaha itu sudah terlambat. Sewaktu anggota penyelamat tiba, seramai 64 orang penumpang sahaja berjaya diselamatkan. Selebihnya dilaporkan telah mati lemas.

Berdasarkan dakwaan mangsa yang terselamat, ramai penumpang terperangkap hidup-hidup di dalam feri itu. Mangsa yang terkorban kebanyakan rakyat dari negara Senegal, Belanda, Perancis, Switzerland, Sepanyol, Norway, Belgium, Cameroon, Ghana, Lebanon dan New Guinea.

Beberapa faktor dikaitkan dengan tragedi ini. Antaranya kecuaian, penyelenggaraan feri yang tidak dilakukan dengan betul selain keadaan cuaca angin kuat dan laut bergelora ketika kejadian.

Namun, paling dikaitkan adalah jumlah penumpang yang berlebihan sehingga menjadi beban dan membuatkan feri itu karam. Kapasiti feri ini sepatutnya hanya boleh membawa 580 penumpang. Tetapi pada hari kejadian, feri ini membawa lebih kurang 2,000 penumpang, jauh lebih tinggi daripada kapisiti yang dibenarkan.

Tragedi MV Le Joola merupakan bencana maritim awam kedua yang terburuk dalam sejarah selepas tragedi kapal MV Dona Paz yang tenggelam pada 1987 meragut lebih 4,000 nyawa.

Salah satu buku yang ditulis tentang tragedi ini.

_________

Baca juga kisah ini : Misteri kapal mewah Waratah yang ghaib tanpa petunjuk

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dulu mewah di Malaysia, kini rendam rumput kering dalam air… Nasib Dara, Amoi dan Kelat mengundang sebak

Ada sesuatu yang meruntun hati apabila melihat seekor gajah berdiri di tepi kolam, perlahan-lahan merendam rumput kering ke dalam...

More Articles Like This