Berdasarkan laporan akhbar tempatan pada Julai 2014, sepohon pokok mempelas di Kampung Alor Pudak di Pendang, Kedah, didakwa telah mengeluarkan air tanpa henti selama seminggu.
Seorang saksi, Sofiah Abd Rahman mendakwa telah memperoleh lebih tiga liter air yang ditadah dari akar pokok tersebut. Menurutnya, bau air mempelas seakan nira pokok tai dan rasa sedikit tawar.
Kongsi wanita itu lagi, dia menyedari kejadian tersebut ketika membersihkan semak di belakang rumah dan membuang akar pokok mempelas yang berdekatan sawah padi kerana bimbang tikus akan membuat sarang.
Tanpa disangka, dia menyedari sesuatu yang aneh iaitu titisan air di bahagian akar pokok berkenaan. Kejadian itu agak berbeza di mana air keluar tanpa henti sekali gus, menyebabkan Sofiah menadahnya dengan menggunakan beg plastik.
Anehnya, hanya sepohon pokok mempelas itu sahaja yang mengeluarkan air. Wanita ini menjelaskan, suaminya ada memotong akar pokok lain untuk mendapatkan air malangnya, ia tidak berhasil. Tambahnya lagi, air mempelas mempunyai khasiat tersendiri. Kononnya, ia sangat mujarab merawat batuk yang berlarutan dan kekuatan tenaga dalam badan.

Itu antara secebis kisah keanehan pokok ini. Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum kertas pasir yang digunakan dalam kerja-kerja pertukangan untuk merata dan melicinkan permukaan kayu dicipta, seni pertukangan halus Melayu zaman dahulu menggunakan helaian daun sebagai bahan utama untuk melicinkan ukiran yang diperbuat daripada kayu.
Daun itu adalah daun mempelas. Ya, daun dari pokok mempelas.

Permukaan depan daun ini agak kasar dan kesat. Kelebihan ini membuatkan daun tersebut mampu melicinkan dan memperkemaskan beberapa jenis kraf tangan seperti hulu atau sarung parang dan keris, seni ukiran kayu dan lain-lain ukiran lagi.
Selain digunakan dalam seni pertukangan halus, daun mempelas turut digunakan sebagai bahan alternatif untuk mencantikkan atau melicinkan kuku.
Daripada aspek kesihatan pula, ia didakwa mampu merawat beberapa jenis penyakit dan zaman dahulu sering digunakan dalam perubatan tradisional.
Sebagai contoh, penggunaan serbuk daripada daun ini digunakan merawat masalah keradangan. Ia juga boleh dijadikan sebagai salap jika mengalami selesema atau sengatan serangga berbisa. Antaranya lagi, air rebusan daun ini diminum untuk mereka yang mengalami tekanan darah tinggi.
Itulah dia serba sedikit mengenai keunikan daun daripada pokok mempelas atau nama saintifiknya ‘Tetracera indica Scadens’.
Berdasarkan cerita lisan, kononnya nama ‘Mempelas’ ini wujud kerana pokok ini banyak tumbuh berlapis-lapis atau beralas-alas di kawasan pokok mempelam. Singkatan ayat ‘Mempe’ dan ‘las’ digabungkan, maka jadilah mempelas. Di sesetengah tempat lain, pokok ini turut digelar dengan nama lain seperti Akar Empelas, Empelas atau Pelas.

Lazimnya, tumbuhan ini tumbuh liar di kawasan terbuka di kebanyakan hutan di Asia Tenggara. Selain hutan, ia juga didapati tumbuh di beberapa lokasi lain seperti kawasan kampung, ladang, kebun dan sebagainya.
Jika diteliti dari sudut morfologi, pokok Mempelas ialah salah sejenis spesies tumbuhan memanjat. Tumbuhan berbatang lembut atau sederhana keras ini biasanya tumbuh secara berkelompok.
Berdasarkan rekod penyelidikan pertanian, tumbuhan ini diklasifikasikan sejenis rumpai yang boleh merosakkan hasil tanaman. Jika pertumbuhan pokok ini tidak dikawal, ia boleh menyebabkan ruang tanaman semakin terhad, kekurangan nutrien makanan, air dan paling ditakuti boleh menjadi perumah bagi haiwan perosak.
Selain permukaan daun kesat, batang pokok mempelas juga mempunyai tekstur yang sama. Ia boleh menyebabkan luka atau parut jika terkena pada bahagian kulit.
Kebiasaannya, pokok mempelas matang akan mengeluarkan bunga berwarna putih dan merah jambu. Meskipun ia diklasifikasikan rumpai, bunga yang terhasil daripada pokok mempelas berbau harum setiap kali ia mekar.

Selain bunga, tumbuhan ini juga mengeluarkan buah. Kebiasaannya, buah yang belum masak akan berwarna hijau manakala buah matang pula berwarna merah. Sesetengah pendapat mengatakan, buah mempelas tidak beracun dan boleh dimakan. Rata-rata buah ini memiliki rasa masam mengikut tempat ia tumbuh.
__________
Baca juga kisah ini : Kisah di sebalik foto ikonik si burung hering dan gadis kecil ‘The Struggling Girl’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

