KERAJAAN Sarawak hari ini mengumumkan fasa keenam Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) melibatkan peruntukan berjumlah RM1.4 bilion bagi meringankan beban rakyat menghadapi kesan penularan COVID-19.
Inisiatif terbaharu kerajaan negeri itu diumumkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula esok hingga 11 Jun, memetik laporan Bernama.com.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan khas yang akan disalurkan merangkumi sembilan langkah pembayaran tunai dan enam langkah pemberian diskaun.
“Kerajaan Sarawak sebelum ini melaksanakan lima pakej BKSS yang bernilai lebih daripada RM3.1 bilion, yang telah sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat,” katanya semasa mengumumkan pemberian bantuan khas itu dalam sidang media di pejabatnya di Kuching
BKSS 6.0 melibatkan pemberian tunai sebanyak RM250 sebulan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) B40 untuk tempoh enam bulan mulai 31 Julai hingga 31 Dis 2021, manakala individu bujang B40 yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima pembayaran tunai berjumlah RM500 secara ‘one-off’ atau sekali beri mulai 31 Ogos 2021.
“Senarai penerima bantuan adalah berdasarkan pada semua data penerima BKSS B40 sebelum ini termasuklah senarai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM970 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih daripada satu juta penerima,” katanya.
BERITA BERKAITAN Jika PKP 1.0 sekali lagi, 2.8 juta hilang kerja – Azmin Ali
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan seluruh negeri Sarawak diletakkan di bawah (PKP) mulai esok.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang semakin meruncing dan juga situasi fasiliti kesihatan yang kritikal serta varian yang membimbangkan (VOC) yang telah dikesan di Sarawak baru-baru ini.
“Kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan COVID-19 sekarang, sebelum kita berada di situasi yang lebih parah lagi,” katanya.
Menurutnya Sarawak telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) diperketatkan, namun kes harian masih meningkat dan sebahagian besar kluster baharu yang tercetus adalah berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

