SEORANG lelaki disyaki melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu bekas isterinya dalam kejadian di Kampung Tapang, Kota Bharu, malam tadi yang dipercayai bermotif cemburu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam itu, wanita itu memandu sebuah kenderaan bersama tiga anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah.
Sebelum itu, mangsa berusia lingkungan 30-an membuat laporan mendakwa bekas suaminya mengekorinya dan kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan mereka.
Sehubungan itu, suspek berusia 30-an itu ditahan di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kira-kira 7 pagi hari ini dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
BERITA BERKAITAN Suami cemburu tembak isteri ketika tidur, tanam mayat di ladang
“Pemeriksaan yang dibuat pasukan forensik mendapati terdapat kesan pecah pada cermin kereta jenis Kia Rio mangsa, namun tidak menemui anak peluru atau kelongsong yang digunakan di kawasan berhampiran.
“Mangsa serta tiga kanak-kanak yang berada dalam kenderaan itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Wan Khairuddin berkata, pihaknya juga menyoal orang awam di kawasan kejadian namun mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi tembakan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

