Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

CEMBURU memang bahaya, lebih-lebih lagi terhadap pasangan dalam rumah tangga hinggakan kemarahan dan emosi mengatasi akal yang waras.

Ini seperti yang berlaku terhadap seorang suami yang sanggup membunuh isteri sendiri berusia 38 tahun gara-gara cemburu.

Lebih tragis, apabila kejadian di Kota Tinggi itu menyaksikan lelaki berkenaan dipercayai menembak isterinya dari jarak dekat dengan senapang angin ketika wanita itu sedang tidur.

Bahkan dua anak pasangan suami isteri beketurunan Melayu itu berada dalam rumah berkenaan yang terletak di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Tidak cukup itu, suspek bersama rakannya bertindak menanam mayat isterinya yang telah memohon fasakh ke atasnya di sebuah kawasan ladang kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis menerima laporan berkaitan orang hilang pada 1 Mac lalu.

Menurut beliau, susulan siasatan itu, polis menangkap dua lelaki Melayu iaitu seorang berusia 43 tahun dan seorang lagi berusia 32 tahun yang juga rakan suami mangsa.

Katanya, suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut menyaksikan suami mengaku membunuh mangsa dengan senapang angin.

“Si suami mengaku membunuh isterinya yang sedang tidur di rumah dan selepas itu mayat isterinya dimasukkan dalam tong air berwarna biru bersama cadar rumahnya.

“Kemudian, mayat wanita itu dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar untuk ditanam, kira-kira 10 km dari rumah.

“Dan dengan dipandu arah oleh suami mangsa pada 4 Mac (semalam) kira-kira jam 10.30 pagi, mayat mangsa ditemui ditanam di kawasan tersebut.

“Motif pembunuhan dipercayai cemburu,” katanya dalam sidang media yang disiarkan menerusi Facebook Polis Johor hari ini.

Ayob Khan menunjukkan tong digunakan dalam kes suami cemburu tembak isteri ketika sedang sedang tidur dalam sidang akhbar di Johor Bahru hari ini./ Gambar FB Polis Johor

Tambah Ayob Khan, turut dirampas selaras senapang angin, satu laras senapang patah, 54 butir peluru penabur, sebuah Mitsubishi Pajero dan sebuah jengkaut.

Katanya, proses bedah siasat masih berjalan dan kedua-dua suspek kini direman selama enam hari sehingga 10 Mac ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh. Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api,” jelasnya.

Menurut Ayob Khan, polis Johor berjaya menyelesaikan kes pembunuhan ini dalam tempoh tiga hari selepas laporan dibuat.

“Kes pembunuhan ini adalah sadis di mana seorang suami sanggup membunuh isteri yang sedang tidur dengan cara tembak gunakan senapang angin dan kemudian tanam mayat mangsa,” ujarnya.

Kes suami cemburu tembak isteri ketika sedang sedang tidur berjaya diselesaikan dalam tempoh empat hari oleh polis Johor seperti dimaklum Ayob Khan pada sidang akhbar hari ini./ Gambar FB Polis Johor.

Menjawab soalan pemberita kemudian, Ayob Khan berkata, laporan polis susulan maklumat daripada jiran mangsa selepas melihat suami wanita itu membawa tong air sekitar jam 4.30 pagi.

Katanya, polis juga masih menyiasat mengenai sejauh mana penglibatan rakan suami mangsa yang ditahan dalam kes berkenaan.

“Kita juga masih jalankan siasatan lanjut, tapi setakat ini pengakuan suami mangsa menembak isterinya di dada dengan senapang angin tersebut. Tunggulah laporan lengkap bedah siasat untuk butiran lanjut.

“Pasangan ini mempunyai dua orang anak berusia antara 3 dan 4 tahun,” katanya sambil menjelaskan suspek tidak mempunyai lesen senjata api.

Pada masa sama, Ayob mengesahkan soalan wartawan berhubung situasi perkahwinan pasangan tersebut yang dalam proses perceraian.

“Ya, ada permohonan fasakh dibuat mangsa. Mereka telah berkahwin selama lapan tahun,” katanya dan memaklumkan suami mangsa bekerja sebagai pemandu jengkaut dan dipercayai mengorek sendiri ketika menanam mayat isteri.

Baca artikel berkaitan: “Tidak kira ‘Datuk Seri’ atau ‘Tan Sri’, jika terlibat jenayah kita tahan – Ayob Khan

Ayab Khan juga pada masa sama enggan mengulas lanjut mengenai motif cemburu yang disebutnya.

“Cemburu ini macam-macam lah kan, suami isteri… Kita pun tak tahu cemburu sebab apa, mungkin ada sebab hubungan dengan orang lain atau sebab lain. Mungkin, kita pun tak tahu sebab apa,” ujarnya.

Dua rekod jenayah lampau suspek pula katanya, berkait kes pukul dan senjata api.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram