BINTANG filem veteran Toh Puan Julie Faridah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pantai, Ipoh, Perak akibat jangkitan virus pada pukul 1.37 pagi, semalam.
Berita sedih itu disahkan oleh anaknya yang juga personaliti televisyen, Aziah Jasmin Azizul menerusi kenyataan daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Menurut Aziah, ibunya pergi dalam keadaan tenang di sisi anak-anaknya.
“Jenazah ibu dimandikan dan dikafankan di rumah di Jalan Watson sebelum dibawa ke Perkarangan Masjid Datuk Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur arwah bapa sekitar pukul 11 pagi semalam.
“Alhamdulillah, semua urusan pengebumian berjalan lancar. Bagi pihak keluarga, kami sangat terharu kerana arwah ibu diberikan penghormatan disemadikan di perkarangan Masjid Datuk Panglima Kinta,” katanya.
Allahyarham Julie atau nama sebenarnya Joria Basir,77, meninggalkan tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.
Arwah yang dilahirkan di Bentong, Pahang terkenal dengan watak ‘Faridah’ dalam filem Keluarga 69 yang dibintanginya pada 1967.
Selain itu arwah penah muncul dalam filem Mekanik pada 1983.
Allahyarham terpaksa melupakan dunia seni disebabkan perlu mengikut arwah suaminya, Datuk Seri Azizul Hassan yang bekerja sebagai pegawai kanan polis.
Julie turut berbesan dengan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kerana anak lelakinya, Mohammad Yaakob berkahwin dengn anak bongsu Tuanku Raja Perlis, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin.

