PENINGKATAN ketara penularan COVID-19 telah membuatkan beberapa lokaliti di Sarawak, Pahang, Perak dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pelaksanaan PKPD tersebut melibatkan masing-masing satu lokaliti di Sarawak, Pahang dan Perak manakala dua kawasan yang terletak di Sabah.
Kesemua kawasan berkenaan bakal menjalani PKPD selama dua minggu mulai Rabu ini sehingga 15 Jun 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, PKPD di Sarawak membabitkan 11 rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan Stalon, Tanjung Manis manakala Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut merupakan lokaliti di Pahang.
Di Perak pula, PKPD dilaksanakan di Felda Trolak Utara, daerah Batang Padang.
Dua Lokaliti di Sabah adalah melibatkan Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu dan Jalan Klias 2 dan 3, Kampung Klias Baru, Beaufort.
Menurut Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes mendadak di 11 rumah panjang Stalon dalam masa satu minggu di mana 21 kes positif telah direkodkan daripada 97 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positiviti 21.6 peratus.
Baca artikel berkaitan: 3 perumahan di Kuala Pilah kena PKPD, 617 ditahan ingkar SOP
Kata beliau, 10 penularan positif telah dikesan di Kampung Pagi, Jerantut daripada 76 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positiviti 13.2 peratus.
Pelaksanaan PKPD di Felda Trolak Utara pula, kata Ismail Sabri, selepas 16 kes positif telah direkodkan manakala 46 sampel saringan masih menunggu keputusan daripada 123 ujian saringan KKM.
Bagi PKPD Kampung Menggatal, beliau berkata, KKM telah melaksanakan 102 ujian saringan dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 10 kes positif telah direkodkan dengan kadar positiviti 9.80 peratus.
“Sementara itu, 20 kes positif COVID-19 telah dikesan di Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3 setelah KKM melakukan 280 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kesemua lokaliti berkenaan berkuat kuasa 2 Jun sehingga 15 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan saringan bagi kontak rapat seterusnya menyekat pergerakan serta penularan jangkitan COVID-19 daripada kawasan berisiko ke luar,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

