TINDAKAN seorang lelaki dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lagi kenderaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan kira-kira jam 8 malam itu membabitkan sebuah Toyota Almera dan Honda Civic.
Menurutnya, Toyota Almera dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun manakala Honda Civic dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu Toyota Almera dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Sultan Yahya Petra.
“Ketika memasuki simpang ke Jalan Sultan Yahya Petra, pemandu dipercayai tertekan pedal minyak secara berlebihan sehingga gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar Honda Civic serta pagar di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan kedua-dua pemandu.
Beliau berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 55 saat berkaitan kemalangan itu yang tular di aplikasi Threads menerusi akaun “oksorrynotfound” pada jam 9.14 pagi tadi.
Katanya, hasil ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ terhadap pemandu Toyota Almera menunjukkan bacaan sifar dan negatif alkohol.
“Malah, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu terbabit juga didapati negatif,” katanya.
Menurut beliau, antara tindakan yang sudah diambil polis termasuk pemeriksaan lokasi kejadian, permohonan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengambil gambar kerosakan kenderaan serta merakam percakapan kedua-dua pemandu.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

