HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, penetapan itu menjadikan harga diesel di Semenanjung menjadi RM4.37 seliter berbanding RM4.67 seliter sebelum ini.
Manakala, jelas kementerian, harga RON97 dan RON95 tanpa subsisi pula tidak mengalami sebarang perubahan.
“Kerajaan masih menanggung subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM3.5 bilion sebulan.
“Keputusan mengekalkan harga bahan api ini dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan pergerakan purata harga pasaran petroleum antarabangsa pada minggu terdahulu,” jelas kementerian.
Kementerian Kewangan memaklumkan, daripada jumlah subsidi sekitar RM3.5 bilion sebulan berdasarkan harga pasaran semasa, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula RM1.5 bilion sebulan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

