BERIKUTAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh mula esok, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan Plus (Pemerkasa Plus).
Perdana Menteri berkata, ia sebagai nisiatif terbaharu kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan PKP pada masa ini.
Dalam perutusan khas malam ini, beliau berkata, nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah RM40 bilion melibatkan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion.
”Sebanyak 12 inisiatif akan dilaksanakan dengan 3 matlamat utama iaitu pertama: mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, kedua meneruskan agenda Prihatin Rakyat dan ketiga menyokong kelangsungan perniagaan,’’ katanya.
Bagi matlamat pertama mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, Perdana Menteri akan memastikan kapasiti kesihatan awam sentiasa diberi keutamaan.
”Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan RMI bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam. Pertambahan peruntukan ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan,’’katanya.
Beliau berkata, melalui peruntukan itu, sebanyak RM450 juta diperuntukan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan Covid-19, bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di UiTM, UPM dan UKM serta melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak. Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta.
‘’Sebanyak RM550 juta diperuntukan untuk menampung pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan Covid-19 termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak. Ini juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 atau PKRC di MAEPS dan di peringkat negeri, ‘’ katanya.
Selain itu kata Perdana Menteri, kerajaan juga akan melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022.
”Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak,’’ katanya.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PIC), Muhyiddin berkata, beliau mendengar keluhan rakyat, terutamanya warga emas dan mereka yang tinggal jauh yang mengalami kesukaran untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
”Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aset-aset Kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool digerakkan bagi tujuan ini. Saya amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, NGO dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha ini.
”Saya juga telah mengarahkan YB Menteri MOSTI untuk mempercepatkan pemberian vaksin, saya dimaklumkan, kapasiti pemberian dos pada masa ini telahpun mencapai 107,000 dos sehari,’’ katanya.
Perdana Menteri berkata, menjelang pertengahan Jun nanti, negara mampu menyediakan lebih dari 200,000 dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin dari syarikat pengeluar, penambahan pusat-pusat pemberian vaksin, memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan.
”Berdasarkan unjuran, pelaksanaan PICK secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang bulan Disember 2021 dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober.
”Saya merayu, supaya rakyat yang telah mendapat tempahan vaksin untuk hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin yang ditetapkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,’’ katanya.
Pemerkasa-Full_FINAL-1
