Misteri tragedi penerbangan 401. Bayangan juruterbangnya yang maut sering muncul dalam pesawat lain

Dari Penulis

Pada malam 29 Disember 1972, penerbangan 401 dari Eastern Airlines berlepas dari lapangan terbang New York menuju Miami, membawa 163 penumpang bersama 13 orang kru.

Pesawat jenis jet Tri-star (Lockheed L-1011) itu baru empat bulan beroperasi. Dipandu oleh juruterbang berpengalaman, Kapten Robert Loft dibantu juruteranya, Donald Repo.

Tetapi, pesawat itu mengalami masalah apabila rodanya tidak berfungsi. Loft dan Repo bertungkus-lumus cuba memperbaiki kerosakan. Belum pun sempat diatasi, pesawat itu menjunam jatuh ke kawasan berpaya. Tersasar lebih 30 kilometer dari landasan kapal terbang Miami.

Keadaan pesawat selepas terhempas.

Tragedi itu mengorbankan 101 nyawa. Loft dan Repo turut terkorban. Pesawat itu mengalami kerosakan teruk, namun tidak terbakar. Setelah siasatan berkaitan insiden itu selesai, bahagian yang masih boleh dipakai dari bangkai pesawat telah diambil, lalu dipasang ke dalam pesawat lain. Di sinilah misteri bermula.

Para pekerja penerbangan mula bercerita. Mereka melihat kelibat bayang Kapten Loft dan Repo dalam pesawat yang menggunakan bahagian dari bangkai penerbangan 401 itu.

Bayang kedua juruterbang itu dikatakan dilihat jelas. Bahkan, bukan hanya pekerja tetapi para penumpang juga sering melihat kelibat mereka. Ramai kru penerbangan yang tidak perasan telah bercakap dengan Loft yang mereka sangkakan adalah juruterbang yang bertugas ketika itu.  

Bayangan Repo (kiri) dan Kapten Loft (kanan) sering muncul dalam pesawat lain selepas tragedi itu.

Seorang juruterbang dan dua kru penerbangan bercerita, mereka bukan saja melihat, bahkan juga berbicara dengan Loft sebelum pesawat berlepas. Di depan mata, mereka saksikan kelibat Loft tiba-tiba hilang menyebabkan mereka menggigil ketakutan sehingga penerbangan waktu itu terpaksa dibatalkan.

Pernah seorang penumpang wanita melihat seorang lelaki duduk di sebelahnya. Lelaki itu berpakaian seragam jurutera syarikat penerbangan yang sama. Wajahnya pucat dan sekadar diam membisu. Tiba-tiba, lelaki itu ghaib di depan mata menyebabkan wanita itu menjerit ketakutan.

Kepada kru bertugas, dia menceritakan apa yang telah disaksikannya. Lalu mereka tunjukkan foto Repo kepada penumpang wanita itu yang mengakui, itulah lelaki yang dilihatnya ghaib secara tiba-tiba tadi.

Di masa lain, sewaktu seorang jurutera sedang memeriksa pesawat sebelum berlepas, muncul kelibat Repo dan berpesan, “Jangan risau. Aku sudah memeriksanya. Semuanya baik.” Sejurus selepas itu, Repo hilang begitu saja.

Seorang kru juga pernah melihat kelibat Repo dengan seragam juruteranya sedang membetulkan peralatan ketuhar yang rosak dalam pesawat. Di waktu lain, seorang jurutera yang turun ke bahagian bawah kokpit untuk memeriksa bunyi yang didengarinya melihat Repo turut berada di situ.

Kisah lain pula, seorang kru melihat wajah Repo yang memandangnya pada kaca ketuhar di dapur pesawat. Lantas dia memanggil dua orang rakan setugas. Salah seorang darinya adalah jurutera yang juga rakan kepada Repo untuk melihat sendiri bayangan pada ketuhar itu.

Jurutera itu akui, itu adalah wajah Repo. Malah, ketiga-tiga mereka sempat mendengar Repo berbicara meninggalkan pesan berbunyi : “Hati-hati dengan api di atas pesawat ini.”

Tidak lama kemudian, pesawat itu benar-benar menghadapi masalah enjin dan penerbangan terpaksa dibatalkan. Pesanan Repo itu bagaikan penyelamat mereka.

Antara keratan akhbar tentang tragedi penerbangan 401.

Salah seorang lembaga pengarah syarikat penerbangan itu juga pernah melalui pengalaman sama. Di dalam pesawat bahagian kelas pertama, dia berbual dengan seorang lelaki berseragam kapten. Namun, setelah dia menyedari itu adalah Kapten Loft, ia hilang begitu saja.

Dalam insiden lain pula, Repo muncul di depan kapten yang bertugas dan memberitahu : “Pesawat ini tidak akan terhempas. Kami tak akan biarkan perkara itu berlaku.”

Satu demi satu peristiwa membabitkan kemunculan Kapten Loft dan Repo telah memanggil golongan paranormal untuk membuat kajian tentang fenomena aneh ini. Namun ia tidak mendapat kebenaran daripada pihak syarikat penerbangan tersebut.

Beberapa buku dan filem pernah diterbitkan berjudul ‘The Ghost of Flight 401’ pada penghujung tahun 80-an berkisar tentang tragedi penerbangan 401 dan misteri penampakan kapten dan juruterbangnya yang telah terkorban.

Dikatakan, setelah pihak syarikat mengarahkan komponen yang diambil dari bangkai penerbangan 401 dikeluarkan dari pesawat tersebut, sejak itu kelibat Loft dan Repo tidak pernah lagi muncul.

___________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This