USAHA Chelsea untuk mendapatkan khidmat bekas penyerangnya, Romelu Lukaku untuk kembali beraksi di Stamford Bridge terbantut selepas pemain itu sendiri umum akan kekal bersama Inter Milan pada musim hadapan.

The Blues sebelum ini dilaporkan berminat membawa kembali pemain 28 tahun, malah bersedia untuk melepaskan enam pemainnya bagi menampung perbelanjaan mendapatkan khidmat penyerang Belgium itu.

Khabar angin mengaitkan Lukaku berhijrah ke Chelsea pada jendela perpindahan musim panas kuat diperkatakan selepas pengendali Inter, Antonio Conte meletak jawatan akibat kewangan kelab terjejas teruk.

Namun Lukaku menegaskan masa depannya kekal di Itali dan dia bertekad membantu Nerazzurri mempertahankan gelaran Serie A.

“Saya akan kekal di Inter. Saya sudah berhubung dengan pengendali baharu, Simone Inzaghi.

“Mungkin terlalu awal untuk saya mendedahkannya, tetapi ia adalah perbualan yang amat positif. Saya gembira di Inter dan ingin melakukannya sekali lagi untuk memenangi Serie A,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kecederaan Trent bikin Southgate cemas

Bekas pemain Manchester United itu berjaya membantu Inter memenangi Scudetto pertama mereka sejak tahun 2010 selepas meledak 24 gol dan 10 umpanan gol dalam 36 perlawanan.

Lukaku hanya bermain 15 kali untuk Chelsea selepas menyertainya dari Anderlecht pada tahun 2011, tetapi gagal menjaringkan sebarang gol.

Dia hampir kembali ke Stamford Bridge pada tahun 2017 ketika Conte membimbing Chelsea, tetapi kemudian memilih untuk menyertai Manchester United.

Dalam pada itu, Chelsea turut memburu bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland dengan pemilik kelab Roman Abramovich sedia membelanjakan RM876.24 juta bagi memperkuat skuad.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram