BUAT hari ketiga berturut-turut, jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) kekal melebihi angka 900.
Pada hari Rabu, seramai 987 individu ditahan pada hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dan 946 individu pula ditangkap kelmarin.
Semalam, jumlah yang mengabaikan pematuhan SOP dan dikesan pegawai penguatkuasa adalah seramai 952 individu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 870 telah dikompaun, 87 direman manakala seorang lagi dijamin.
Kata beliau, seramai 252 individu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka; 176 gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk ke premis dan 116 lagi ditangkap atas kesalahan merentas negeri/daerah tanpa kebenaran atau makan di premis.
Baca artikel berkaitan: 2 hari lockdown: 88 permohonan rentas ditolak, 235 kenderaan diarah patah balik – Ayob Khan
Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 110 individu dikesan tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan dan 98 ditahan kerana membawa penumpang berlebihan.
“Pada masa sama, 84 individu dikenal pasti tidak menjaga penjarakan fizikal, 10 premis gagal mematuhi arahan dan 106 lagi ditahan atas kesalahan lain.
“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 80,463 pemeriksaaan semalam.
“Ia melibatkan 5,069 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 20,710 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memandang serius mengenai isu-isu pelanggaran SOP dan sebagainya yang ketika ini banyak diperkatakan.
Sehingga 1 Jun lalu, kata beliau, beberapa kementerian telah mengambil tindakan ke atas kilang-kilang dan premis perniagaan yang melanggar perintah serta arahan PKP seperti beroperasi lebih waktu, beroperasi dengan lebih 60 peratus pekerja dan juga beroperasi walaupun telah diarahkan tutup.
“Saya baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Strategi Pematuhan SOP COVID-19 hari ini bagi memastikan tindakan agensi penguatkuasaan dan pematuhan dalam kalangan pemilik premis perniagaan serta sektor perkilangan.
“Task Force Operasi Pematuhan ini akan memfokuskan kepada pematuhan dan perintah yang dikeluarkan kerajaan.
“Kerajaan juga membuka talian hotline bagi membolehkan orang ramai membuat aduan melalui Malaysian Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-80008000, [email protected] atau emel ke aduan. pematuhan.mkn.gov.my,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

