Jika vaksin ditemui pada kurun ke 16, mungkin tamadun agung Inca tidak akan lenyap angkara wabak penyakit

0
131

Siapa kaki melancong dan suka tempat berkaitan sejarah, pernahkah anda sampai di Machu Picchu, sebuah tinggalan kota daripada sebuah peradaban gah yang pernah wujud satu ketika dahulu.

Ia merupakan kota peninggalan empayar Inca, sebuah tamadun agung yang pernah berdiri merentasi wilayah Amerika Selatan.

Salah satu monumen agung empayar ini ialah pembinaan Machu Pichu (terletak di selatan Peru), sebuah kubu kota yang dibina pada abad ke-15 di atas sebuah puncak gunung setinggi 2430 meter.

Machu Picchu.

Sejarah awal empayar ini dapat dijejak seawal 1438 Masihi dan sudah wujud sebelum kedatangan zaman Christopher Columbus lagi. Bahkan, kaum Inca mampu membina kerajaan yang menjadi kuasa terbesar di pertengahan banjaran Andes.

Mengikut legenda kisah pembinaan empayar ini, ia dibina oleh tuhan matahari bernama Tuhan Inti yang telah mengirimkan empat orang anak perempuannya serta seorang lelaki untuk mencari tanah untuk ditadbir.

Tuhan Inti, tuhan matahari kepercayaan bangsa Inca.

Salah seorang daripada anak lelaki bernama Manco Capac telah mengasaskan Empayar Inca di sekitar Cuzco, Peru hari ini. Empayar ini kemudian membentang seluas 2000 batu sehingga ke selatan Amerika, merangkumi negara moden seperti Ecuador, Bolivia, Chile dan sebahagian Argentina pada hari ini.

Keluasan Empayar Inca.

Sayangnya, keagungan tamadun Inca menemui kehancuran.

Tahukah anda, wabak Smallpox atau dalam bahasa Melayu disebut sebagai ‘cacar air’ merupakan salah satu faktor utama kepada kejatuhan empayar agung ini.

Dalam catatan sejarah, Sepanyol telah sampai ke benua Amerika melalui pelayaran Christopher Columbus pada tahun 1492.

Sejak itu, bermulalah gelombang demi gelombang ketibaan orang Sepanyol di benua Amerika yang akhirnya membantai kerajaan-kerajaan peribumi di benua tersebut.

Punyalah sadis, si bangsa Sepanyol ini datang bukan sekadar membawa senjata dan dakwah Kristian, tetapi turut membawa wabak penyakit. Wabak smallpox ini disebarkan daripada penjajahan orang Sepanyol. Wabak ini menular dengan pantas dalam empayar Inca.

Dipercayai wabak Smallpox menyerang benua Amerika seawal tahun 1518 dan ia telah meragut nyawa sehingga separuh daripada jumlah penduduk peribumi di situ sebelum ia menular ke Mexico, dan membunuh satu pertiga populasi Mexico.

Wabak smallpox telah membawa kematian besar kepada populasi tamadun Inca.

Dari Mexico, wabak ini menular pula ke dalam empayar Inca sehingga mengorbankan lebih daripada 75 peratus populasi Inca ketika itu. Salah seorang yang terkorban angkara wabak ini ialah Maharaja Inca sendiri, Huayna Capac.

Kematian Huayna Capac mencetuskan perebutan kuasa antara dua orang anak lelakinya iaitu Atahualpa dan Huascar. Sudahlah populasi tamadun Inca merudum kerana kematian akibat wabak penyakit, perang saudara pula meletus kerana perebutan kuasa. Ini yang membuka ruang untuk Sepanyol masuk menjajah mereka.

Tahun 1532, penjajah Sepanyol, Francisso Pizzaro tiba bersama  67 orang tentera berkuda dan 100 orang tentera pejalan kaki lalu menyerang kerajaan Inca.

Penaklukan Sepanyol menjadi mudah kerana tamadun Inca telah lemah angkara wabak penyakit dan perang saudara.

Kelebihan Sepanyol kerana ada teknologi senjata. Ditambah pula dengan wabak Smallpox dan juga perang saudara yang melanda empayar Inca, tidak sukar untuk Francisso Pizzaro menawan empayar Inca yang sudah lemah.

Cuba anda bayangkan jika waktu itu wabak penyakit tidak menghancurkan populasi Inca, dan jika waktu itu wujud Dr. Edward Jenner di kalangan orang Inca yang berjaya menemui vaksin penyakit Smallpox, nescaya empayar Inca mungkin mampu menahan serangan Sepanyol dan tidak lenyap.

Sayangnya, wabak penyakit ini telah melumpuhkan kekuatan empayar Inca sehingga penjajah seperti Pizzaro hanya menggunakan 100 tentera pejalan kaki dan 67 tentera berkuda saja untuk merobohkan sebuah empayar agung yang satu ketika dulu keluasannya merentangi Amerika Selatan sehingga ke bumi Argentina pada hari ini.

Kalaulah Edward Jenner penemu vaksin cacar ini wujud di kalangan tamadun Inca pada kurun ke-16…

Bayangkan jika wabak penyakit tidak mengganas dan mampu dikawal, mungkin kita masih dapat melihat ketamadunan Inca pada hari ini. Sudah pasti sejarah banyak yang berubah dan Sepanyol tidak sewenang-wenangnya mampu memusnahkan tamadun-tamadun gah itu.

Hanya kerana wabak penyakit, ia mampu meruntuhkan sebuah empayar terbilang dan meranapkan ketamadunan manusia.

Selama ribuan tahun dahulu, wabak penyakit sudah mencabut jutaan nyawa manusia di seluruh dunia. Hanya penghujung tahun 1970-an, barulah wabak penyakit ini dapat dikawal dan hampir terhapus apabila kaedah vaksinasi diperluaskan pengambilannya di seluruh dunia.

Daripada kisah di atas, dapat difahami betapa pentingnya pengambilan vaksin. Penyakit datang, tanggungjawab kita mencari penawarnya dan ia mestilah didasarkan pada usaha.

Usaha dan tawakal. Jangan nanti bila wabak penyakit menyerang, kita tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya berserah pada kuasa Tuhan yang menentukan sembuh atau pun tidak.

Ingat, usaha tanpa tawakal itu sombong, manakala tawakal tanpa usaha itu bod*h namanya. Jangan jadi begitu!

________

Kisah berkaitan : Runtuhnya empayar Aztec kerana wabak cacar. Kalaulah vaksin ditemui 200 tahun lebih awal…

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram